Lilis Saslinda melihat barang pelupusan Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Senai, di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Kulai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melupuskan barang kes dianggarkan berjumlah RM2.1 juta sepanjang tahun ini.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan pelupusan pelbagai barang kes itu membabitkan 152 kertas siasatan yang diselesaikan.
"Sepanjang tahun ini, KPDN Johor menghasilkan sebanyak 1,287 kes dengan jumlah nilai sitaan sebanyak RM29.7 juta.
"Dalam tempoh sama, tindakan penguatkuasaanmerekodkan hasil kutipan kompaun dan denda sebanyak RM1.3 juta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Senai, di sini, hari ini.
Menurutnya, barangan itu dirampas kerana kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1964 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya, berikutan itu orang ramai dinasihatkan mematuhi undang-undang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas.
Disiarkan pada: Disember 17, 2024
|