Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan insiden membocorkan tayar kereta orang lain seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini. FOTO TULAR FACEBOOK
Iskandar Puteri: Lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden membocorkan tayar kereta seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Suspek berusia 43 tahun ditahan di sekitar kawasan Taman Bukit Indah, di sini, kira-kira 9.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, polis menerima laporan daripada wanita berusia 21 tahun mengenai kejadian dipercayai berlaku kira-kira 10 pagi 13 Disember lalu.
"(Video) kejadian itu tular di media sosial sebelum polis berjaya menahan suspek.
"Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing suspek didapati negatif dadah," katanya.
Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Disiarkan pada: Disember 17, 2024
|