Alor Setar: Lelaki yang didakwa memukul bekas teman wanitanya sehingga cedera di leher, kaki dan lebam di mata, akhirnya ditahan polis semalam.
Lelaki yang juga penjawat awam dan bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu di Langkawi, semalam.
Beliau berkata, dia ditahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
"Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 24 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang penjawat awam yang memperdayanya dengan janji manis sehingga menyebabkan dia kerugian lebih RM300,000.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Jihan, berusia 39 tahun dan anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' itu mendakwa mengenali lelaki yang bekerja sebagai penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi itu sejak 2020.
Katanya, pada mulanya lelaki itu langsung tidak menunjuk belangnya malah menunjukkan sifat romantisnya sehingga berjanji untuk berkahwin selain diperdaya lelaki berkenaan sehingga kerugian lebih RM300,000.