PEMPENGARUH dikatakan bermain emosi sehingga memperdayakan wanita berkenaan. FOTO CCTV
Beijing: Seorang lelaki juga pempengaruh dalam talian di China dengan 42,000 pengikut mengambil kesempatan dengan memperdaya wanita warga emas yang kesepian hingga mangsa menyerahkan wang berjumlah 560,000 yuan (kira-kira RM342,578) kepadanya.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pempengaruh itu melakukannya dengan mereka cerita sedih dan berpura-pura menjadi anaknya.
Mangsa, Tang yang berusia lingkungan 70 tahun belum berkahwin dan tidak mempunyai anak.
Pada 2022, anak saudaranya mendapati dia sentiasa memindahkan wang kepada individu yang tidak dikenali.
Wang itu dipindahkan kepada lelaki dari wilayah Shaanxi di barat laut China itu. Lelaki itu dikatakan berdedikasi untuk menyelesaikan masalah orang ramai, membantu petani menjual produk jualan dan membantu orang hilang mencari rumah mereka.
Anak saudara Tang, bernama Jiang, berkata, ibu saudaranya tertarik dengan kebaikan lelaki itu.
Wanita itu pada mulanya menghantar hadiah kecil ketika lelaki itu melakukan penstriman langsung pada 2021, dan kemudiannya cuba diperdaya untuk membeli produk kesihatan yang tidak sah.
Lelaki itu, yang menggunakan nama @lixuan dan kini disekat di platform itu kemudian menjalin hubungan lebih rapat dengan Tang dan mula memanggilnya sebagai ibu.
Dia bertanya khabar wanita itu setiap hari, dan tidak lama kemudian mula meminjam wang daripadanya.
Alasan yang digunakan termasuk menghidap barah perut peringkat awal, di samping teman wanitanya perlu melakukan pengguguran bayi dan bapanya sakit tenat.
Tang tidak sampai hati hingga sanggup meminjam wang untuk diberikan kepada lelaki dianggap anak itu.
Bagaimanapun, Tang curiga apabila lelaki itu kemudian semakin kurang menghubunginya.
Lelaki itu kemudian memandu lebih 1,000 kilometer (km) untuk melawatnya, dan membuat video bersama-sama, sebelum meminta wanita itu berhenti menghubunginya kerana "kami tidak lagi percayakan saya".
Susulan itu, Tang ke balai polis pada akhir 2023 bagi membuat aduan.
Lelaki itu kemudian didakwa di mahkamah, sebelum dihukum penjara 10 tahun dan denda 100,000 yuan (kira-kira RM61,000).
Disiarkan pada: Januari 21, 2025
|