Pegawai memeriksa bangkai makhluk aneh yang ditemukan di hutan bakau. - Khaosod
BANGKOK – Penduduk sebuah kampung di Tha Sak, wilayah Nakhon Si Thammarat gempar apabila menemui bangkai makhluk aneh bergigi tajam yang sudah mereput di sebuah kawasan hutan paya bakau, lapor laman berita Thaiger semalam.
Penemuan itu dibuat oleh seorang pencari ketam, Pinij Bansuwan semalam.
“Saya sedang memasang perangkap ketam apabila melihat makhluk yang besar dan reput ini dengan gigi tajam yang panjang.
“Saya panik dan berlari. Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu!” katanya.
Selepas kembali tenang, Bansuwan merakam gambar bangkai itu dan berkongsikannya dengan penduduk lain.
Ia menggemparkan penduduk serta mencetuskan pelbagai teori dengan ada yang menyangka bangkai itu adalah haiwan mitos atau makhluk asing.
Pakar-pakar daripada Jabatan Sumber Asli Laut dan Pantai di samping penyelidik dan doktor haiwan dari Pusat Penyelidikan Sumber Laut dan Pantai Teluk Hilir Thailand kemudian pergi ke hutan bakau tersebut di kawasan pemuliharaan Ao Pak Phaya.
Setelah meneliti keadaannya, pakar-pakar dengan segera mengenal pasti makhluk itu sebagai ikan paus pembunuh hitam. Ia merupakan mamalia marin yang lebih selesa berada di kedalaman lautan yang lebih gelap.
Pegawai kemudian mengumpul sampel penting termasuk kandungan perut, tisu penting dan kepala paus tersebut untuk analisis di makmal.
Seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Sumber Laut dan Pantai, Dr. Rattanaporn Phakphian berkata, penemuan bangkai paus pembunuh hitam itu sangat jarang berlaku kerana ia biasanya tinggal di laut dalam.
Rattanaporn percaya bahawa mamalia itu berkemungkinan menjadi mangsa angin kencang dan air pasang besar baru-baru ini, menghanyutkannya ke dalam terusan dan akhirnya terperangkap di dalam hutan bakau. – AGENSI
|