![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250206/banjir1w.jpg)
BANJIR: Beginilah keadaan salah sebuah rumah yang dilanda banjir.
KENINGAU: Hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam mengakibatkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah ini termasuk Pekan Keningau dan juga beberapa premis perniagaan, jalan utama serta sebuah stesen minyak dilaporkan turut dinaiki air.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pasukan penyelamat kini sedang memantau situasi banjir dan menjalankan operasi pemindahan mangsa di kawasan yang terjejas.
Setakat ini, tujuh kampung dilaporkan terkesan akibat banjir, iaitu Kg Bariawa Laut, Kg Kauran, Kg Kadalakan, Kg Bakiau, Kg Lingkudau, serta kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Anggerik, Kg Patikang Ulu dan Kg Agudon.
Beberapa video kejadian turut tular di media sosial, memperlihatkan keadaan banjir di sekitar pekan Keningau serta beberapa rumah penduduk yang dinaiki air.
Insiden ini merupakan kejadian pertama banjir kilat yang melanda pekan Keningau sejak ribut Greg pada tahun 1996. Pihak berkuasa akan terus melakukan pemantauan rapi dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
|