Ribuan rakyat Palestin yang sebelum ini dipindahkan ke selatan atas arahan Israel semasa perang, kini kembali ke kediaman mereka di utara Gaza. - Foto REUTERS
JAKARTA: Indonesia dengan tegas menolak sebarang cubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa atau mengubah komposisi demografi Wilayah Palestin yang diduduki, kata Kementerian Luar pada Rabu.
Dalam satu kenyataan di akaun X rasminya, kementerian itu menegaskan bahawa tindakan sedemikian menghalang realisasi penubuhan Negara Palestin yang bebas dan berdaulat seperti yang diimpikan melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
"Indonesia menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, terutamanya hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta hak mereka untuk kembali ke tanah air mereka," menurut kenyataan itu.
Republik itu juga menegaskan yang satu-satunya jalan yang boleh membawa kepada keamanan berkekalan di rantau ini adalah dengan menangani punca asas konflik iaitu pendudukan haram dan berpanjangan oleh Israel ke atas wilayah Palestin.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan yang menyebut bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, pada Selasa mendakwa 'AS akan mengambil alih' Semenanjung Gaza, tidak lama selepas mencadangkan pemindahan kekal rakyat Palestin di luar wilayah itu atas alasan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi.
Cadangan kontroversi Trump mengundang kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa, dengan ramai pengkritik yang menganggapnya sebagai 'pembersihan etnik' dan 'jenayah perang', menurut laporan media antarabangsa.
Sementara itu, Afghanistan mengkritik kenyataan Trump mengenai pengusiran rakyat Palestin dari Gaza, dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa yang boleh menimbulkan kebencian dalam kalangan umat Islam.
"Gaza adalah sebahagian daripada wilayah Palestin dan tiada sesiapa pun yang mempunyai kuasa untuk menentukan nasib penduduknya," kata Kementerian Luar Afghanistan dalam satu kenyataan pada Rabu.
Trump mencadangkan pemindahan penduduk Gaza ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House, pada Selasa.
Kenyataan beliau telah menimbulkan kebimbangan global dan ditolak keras oleh negara-negara lain, termasuk negara yang bersekutu dengan AS di rantau itu.
Afghanistan berkata 'rancangan sedemikian bukan sahaja mencerminkan niat jahat rejim Zionis, tetapi juga mencetuskan kemarahan yang meluas dalam kalangan umat Islam' sambil menyebabkan ketidakstabilan serantau yang lebih meluas.
Kumpulan Palestin Hamas mengecam rancangan Trump sebagai 'tidak masuk akal' dan "bermusuhan."
Israel telah membunuh hampir 70,000 rakyat Palestin sepanjang lebih 15 bulan perang genosidnya terhadap kawasan enklaf yang dihuni 2.3 juta orang itu.
|