CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 10246|Reply: 0

Itali dakwa 7 rakyatnya jadi sasaran perisian pengintip di WhatsApp

[Copy link]
Post time 6-2-2025 05:46 PM | Show all posts |Read mode


WASHINGTON: Kerajaan Itali memaklumkan tujuh pengguna telefon bimbit di negara itu menjadi sasaran perisian pengintip dan menyifatkan kejadian itu sebagai 'sangat serius'.

Ketujuh-tujuh individu berkenaan dikatakan menjadi sasaran pengintip menerusi perkhidmatan pemesejan WhatsApp daripada platform Meta.

Pejabat Perdana Menteri Itali, dalam kenyataan berkata, WhatsApp melalui firma guaman sudah memaklumkan Agensi Keselamatan Siber (ACN) mengenai tujuh kes disahkan di Itali, tetapi tidak mendedahkan perincian 'bagi melindungi kerahsiaan mangsa'.

Pihaknya juga sudah meminta ACN menyiasat perkara itu, selain menafikan sebarang pembabitan susulan laporan mendakwa seorang wartawan dan aktivis migran terkenal turut menjadi sasaran.

ACN dimaklumkan, perisian pengintip itu turut ditemui dalam kalangan pengguna WhatsApp di negara Kesatuan Eropah (EU) lain, iaitu Belgium, Greece, Latvia, Lithuania, Austria, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Jerman, Belanda, Portugal, Sepanyol dan Sweden.

Jumaat lalu, pengasas bersama badan amal Mediterranea Saving Humans, Luca Casarini, mendedahkan amaran perisian pengintip diterimanya daripada WhatsApp.

Ia diterima pada hari sama Meta secara terbuka menuduh syarikat pengawasan Paragon Solutions (Paragon) menyasarkan kira-kira 90 pengguna di lebih 20 negara, termasuk sejumlah wartawan dan aktivis tidak dinyatakan.

Pendedahan itu dibuat beberapa hari selepas wartawan Itali, Francesco Cancellato, mendedahkan dirinya sebagai antara penerima amaran WhatsApp, baru-baru ini.

Pengumuman Meta bersama surat pemberhentian kepada Paragon, mendakwa syarikat dilaporkan dimiliki Amerika Syarikat (AS) itu cuba mencuri data pengguna.

Ia didakwa menggunakan teknik canggih yang tidak memerlukan sebarang interaksi daripada sasaran, dikenali sebagai 'penggodaman tanpa klik'.

Meta enggan mengulas mesej dihantar kepada Casarini, selain Paragon dan pemiliknya, kumpulan pelaburan Florida AE Industrial Partners, tidak memberikan reaksi mengenai isun itu.

Casarini sering dikritik akhbar anti-migran yang menyokong kerajaan di Itali kerana kerja amalnya menyelamatkan migran di Laut Mediterranean, lokasi lintasan di mana bot yang sesak dinaiki rakyat Afrika sering terbalik sebelum sampai ke pantai Eropah.

Casarini, yang pernah didakwa kerana membantu proses imigresen haram, berkata komunikasi beliau disekat susulan kes itu, selain mengakui tidak tahu dalang kejadian yang dikesan WhatsApp atau sama ada ia disahkan pihak berkuasa kehakiman, sambil berkata: "Ia pencabulan demokrasi".

Cancellato pula berkata, akhbar dalam talian miliknya, Fanpage yang terkenal dengan siasatan penyamaran, terutama pendedahan mengenai sayap muda Perdana Menteri Itali, Georgia Meloni baru-baru ini, menunjukkan ahlinya menggambarkan diri mereka sebagai fasis dan melaungkan slogan Nazi, 'Sieg Heil'.

Beliau mengakui terkejut dengan kejadian itu tetapi mahu menangguhkan sebarang penilaian mengenai dalang penggodaman terbabit sehingga akhbarnya menjalankan siasatannya sendiri. - REUTERS


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-2-2025 08:34 AM GMT+8 , Processed in 0.494553 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list