![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250205/sbw-ub050225-rj-coop.jpg)
Program Promosi Turun Padang JOM@COOP Mempromosi Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025 yang akan berlangsung di Hotel Kingwood Sibu pada 13 Februari ini.
SIBU: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan mengadakan Program Promosi Turun Padang JOM@COOP Mempromosi Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025 di Hotel Kingwood Sibu pada 13 Februari ini.
Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak Mohamad Suandi Mortadza berkata, program promosi itu merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dijalankan oleh IKMa bagi meningkatkan kefahaman komuniti koperasi serta ahli dalam membangunkan ekonomi komuniti mereka dan seterusnya memberi impak kepada negara.
"Selain itu, program ini dapat mempromosikan kelebihan dan keistimewaan koperasi kepada masyarakat serta menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh IKMa," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Suandi berkata, antara pengisian program termasuk perkongsian pengalaman oleh Pengerusi CoopBank Pertama merangkap Ahli Lembaga Pengarah IKMa Datuk Baharom Embi yang bertajuk 'Rahsia Jana Untung Bisnes'.
Ini diikuti oleh taklimat program IKMa Zon Sarawak, perkongsian pengalaman bekas peserta program IKMa serta pameran agensi, gerai jualan dan pameran koperasi dan usahawan.
Menurut Suandi, objektif program turun padang ini bagi menerangkan program latihan dan pendidikan yang ditawarkan IKMa sepanjang tahun 2025 serta memberi pendedahan kepada warga koperator khasnya di bahagian Sibu dan kawasan sekitar tentang peranan IKMa Zon Sarawak dalam pembangunan modal insan koperasi.
"Program ini juga bagi berkongsi pengalaman menguruskan kejayaan perniagaan agar menjadi pedoman dan motivasi kepada kemajuan koperasi dan perniagaan yang diuruskan," jelasnya yang juga penyelaras program.
Menyentuh mengenai kumpulan sasaran, beliau berkata pelaksanaan program ini menyasarkan penyertaan 150 peserta dari bahagian Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah dan kawasan sekitar, yang terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi (ALK), anggota koperasi dan kakitangan koperasi, selain usahawan dan masyarakat umum.
|