Zaifulbahri Idris (tengah) bersama pegawai MAINS ketika melawat keluarga Anis Elam dan Norshima Sekil. FOTO ihsan MAINS
Rembau: Ketibaan Ramadan tahun ini hampir pasti memberi keceriaan kepada tiga beranak apabila kisah kesusahan mereka mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Anis Elam, 35, dan Norshima Sekil Abdullah, 36, serta seorang anak mereka berusia dua tahun setengah dilaporkan hidup dalam kesusahan hingga terpaksa tinggal di rumah usang di Kampung Ulu Chembong di sini, selama tiga tahun.
Pegawai MAINS Rembau Zaharudin Mat Derus berkata, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong Datuk Zaifulbahri Idris tampil melihat permasalahan dihadapi keluarga terbabit.
Menurutnya, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan bukan sahaja dari segi bantuan kewangan diperlukan tetapi juga membantu membaiki rumah yang didudukinya yang sangat tidak kondusif untuk didiami.
"MAINS akan membantu keluarga ini terutama dari segi bantuan kewangan secara bulanan memandangkan ketua keluarga mengalami masalah kesihatan agak serius yang menyebabkan dia tidak dapat keluar bekerja," katanya ketika dihubungi selepas melawat keluarga berkenaan hari ini.
Selain tiada kemudahan tandas dan bekalan air bersih, struktur rumah yang didiami keluarga berkenaan didapati sudah reput dimakan anai-anai dan bocor pada kebanyakan bahagian bumbung.
Anis yang berstatus orang kurang upaya (OKU) hanya memperoleh pendapatan dengan menoreh getah di tanah milik penduduk kampung, manakala isterinya bekerja sebagai tukang cuci di pekan Rembau.
Disiarkan pada: Februari 28, 2025
|