TAN menunjukkan barang rampasan daripada suspek kes pengedaran dadah. FOTO Izz Laily Hussein
Kulai : Lelaki yang dipercayai bergerak solo untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah ditahan polis dalam dua serbuan di sebuah hotel bajet dan rumah sewa sekitar daerah ini, Ahad lalu.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan bersama dadah seberat 8.2 kilogram dianggar bernilai lebih RM1.37 juta.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek yang juga penganggur mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes narkotik sejak berusia 15 tahun dan sudah berhenti sekolah sejak tingkatan satu.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 8.2 kilogram dan ketamin seberat tiga gram.
"Turut dirampas beberapa alat digunakan untuk tujuan memproses dan pembungkusan seperti batu lesung serta paket plastik.
"Semua dadah ini jika terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 800 penagih," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di sini, hari ini.
Tan berkata, suspek dipercayai sudah menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak lebih sebulan lalu dengan menjual pada harga RM100 bagi setiap paket yang dibungkus semula.
"Modus operandi digunakan suspek adalah menjadikan rumah sewa sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah, manakala suspek sendiri menetap di bilik hotel.
"Setiap paket dadah dijual mengikut perisa berlainan seperti coklat, strawberi dan kopi bergantung kepada kehendak pembeli," katanya.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Disiarkan pada: Februari 28, 2025
|