"Rozita belum bayar habis hutangnya dengan MARA dengan baki tertunggak berjumlah RM443,392. yang perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini.
"Jadi, dakwaan kononnya pelakon itu sudah melangsaikan semua hutangnya dengan MARA adalah tidak benar. Jika dikira, baki hutang Rozita itu jika dibayar boleh menampung hampir 50 pelajar yang belajar di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).
"Saya tegas dan tidak berkompromi dengan sesiapa juga yang berhutang dengan MARA termasuk artis atau golongan ternama supaya membayar balik pinjaman mereka kerana ia duit rakyat yang boleh digunakan bagi membantu pelajar dan usahawan lain yang memerlukan," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rozita dua minggu lalu yang memaklumkan sudah menjelaskan semua hutang tertunggaknya dengan MARA.
Pada 10 Disember tahun lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya diserbu pegawai MARA bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta yang dibuatnya pada 2017.
Asyraf Wajdi pada 19 Februari lalu mendedahkan NPL ditanggung MARA kini mencecah 49.6 peratus bernilai RM893 juta, menyebabkan agensi itu bakal mengambil tindakan tegas termasuk saman terhadap mereka yang gagal melunaskan pinjaman terbabit.
Beliau berkata, MARA tidak akan berkompromi dan enggan melayan sebarang permohonan peminjam yang menghantar surat menggunakan nama VIP tertentu untuk mengelak daripada membayar pinjaman perniagaan diberikan kepada mereka kerana wang itu adalah duit rakyat.
Sehingga Oktober tahun lalu, seramai 97,866 daripada jumlah keseluruhan 197,348 peminjam aktif MARA disenarai hitam sebagai langkah pengukuhan kepada pembayaran pinjaman berkenaan.
Tindakan senarai hitam itu dikenakan terhadap peminjam tidak dapat membayar pinjaman dalam tempoh tiga bulan dan terangkum dalam pengurusan MARA sahaja tanpa membabitkan agensi dan ekosistem lain.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, ketegasan MARA menuntut semula hutang tertunggaknya membuktikan agensi itu serius mahu menepis tanggapan orang ramai yang menganggap kononnya pinjaman dibuat tidak perlu dibayar semula.
"Jangan anggap MARA ini sebagai tempat mudah untuk membuat pinjaman sama ada perniagaan atau pendidikan tanpa perlu membayar semula, kononnya mereka tidak dikenakan tindakan.
"Kita tegas dan tidak akan 'beri muka' kepada peminjam yang sengaja mengelak membayar hutang. Tindakan mahkamah akan dikenakan kepada mereka terbabit selepas pelbagai usaha mendapatkan semula hutang itu tidak dipedulikan.
"Sebenarnya MARA tidak kejam kerana jika ada peminjam bermasalah, kita ada proses penjadualan dan penstrukturan semula tetapi jangan senyap," katanya.
Asyraf Wajdi berkata, ketika ini usaha giat dilakukan bagi mengutip pinjaman hutang NPL itu yang dilakukan anak syarikat MARA, Rural Capital dalam usaha mengurangkan NPL kepada 30 peratus, sekali gus wang itu boleh digunakan bagi membantu usahawan lain yang memerlukan.