CERMIN kereta dipecahkan dalam kejadian merusuh, di Austin Heights.
Johor Bahru : Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden rusuhan membabitkan sekumpulan individu bersenjata di hadapan Sport Hub, Jalan Austin Heights 7, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian 1.30 pagi dan membabitkan kira-kira 20 individu yang bersenjatakan cota besi serta kayu besbol.
"Dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun, berada bersendirian di dalam kenderaan pacuan empat roda miliknya sebelum didatangi kumpulan terbabit yang bertindak menyerang serta merosakkan kenderaannya.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian siku kanan dan tapak tangan kiri akibat terkena serpihan kaca.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan lelaki pelbagai bangsa berhampiran sebuah premis makanan, sebelum berlarutan sehingga menyebabkan kerosakan harta benda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan semua suspek yang terbabit melakukan rusuhan dan perbuatan khianat sedang giat dijalankan bagi tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda
"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya," katanya.
Raub berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
|