Seorang maut, manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Proton Saga di KM 9.8 Jalan Kota Tinggi - Kluang, pagi tadi. FOTO IHSAN POLIS
Kota Tinggi: Seorang wanita maut, manakala tiga individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Proton Saga di Kilometer 9.8 Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira 8.45 pagi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan kereta dipandu wanita berusia 26 tahun bersama ibunya berusia 59 tahun dan anaknya berusia dua tahun.
"Kemalangan berlaku apabila sebuah lagi kereta dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah Kampung Lukut, Batu Ampat ke Kota Tinggi dipercayai memasuki laluan bertentangan.
"Ia menyebabkannya bertembung di bahagian hadapan sisi kiri kereta dinaiki tiga sekeluarga itu," katanya menerusi kenyataan, di sini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, wanita berusia 59 tahun parah di kepala dan disahkan meninggal dunia jam 9.59 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini.
Katanya, pemandu kereta bersama anaknya turut cedera dan mendapatkan rawatan di HKT dan Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
"Pemandu sebuah lagi kereta cedera ringan di kaki dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
|