YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni pengunjung Jualan Kasih Johor. | Foto arkib MDJ
IskandarPuteri – Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan Jualan Kasih Johor sempena Aidilfitri Tahun 2025 di 57 lokasi meliputi seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama menjelang perayaan bermula 22 hingga 29 Mac ini.
Pelancaran inisiatif dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor menawarkan potongan harga sangat istimewa antara 50 ke 70 peratus bagi barangan makanan komoditi yang menjadi keperluan asas rakyat itu akan diadakan di Kawasan R&R Bandar Tenggara, Kota Tinggi pada Sabtu, 22 Mac.
Mensasarkan lebih 200,000 pengunjung secara keseluruhan dan melibatkan lebih 300 usahawan tani, antara komoditi menjadi keutamaan sempena Jualan Kasih Johor Aidilfitri adalah ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam serta minyak masak selain daging lembu, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit dan produk-produk industri asas tani (IAT).
Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor memperuntukkan RM6.6 juta menerusi Belanjawan Johor 2025 untuk melaksanakan Jualan Kasih Johor tahun ini, dengan keseluruhan RM12.4 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif sejak diperkenalkan pada 2023.
Justeru, seluruh Bangsa Johor dijemput untuk memeriahkan Jualan Kasih Johor Aidilfitri sekali gus mendapatkan barangan keperluan makanan tersebut dengan harga sangat istimewa yang menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri meringankan beban kos sara hidup rakyat bagi membuat persiapan musim perayaan.
|