Trump buat pusingan U berhubung Greenland, tak jadi rampas
DAVOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau sudah mencapai satu rangka kerja perjanjian yang memuaskannya berhubung Greenland. Sekali gus, beliau berundur daripada ancaman untuk merampas pulau itu secara paksa daripada Denmark serta mengenakan tarif terhadap sekutu Eropah.
Trump membuat pusingan U yang mengejutkan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte. Beliau memberitahu AFP pertemuan berkenaan "sangat baik" namun "masih banyak kerja yang perlu dilakukan".
Trump, yang menghadiri Forum Ekonomi Dunia di pusat peranginan Davos, berkata rangka kerja itu adalah bagi perjanjian jangka panjang, namun beliau enggan menjelaskan sama ada ia akan membawa kepada kawalan AS ke atas pulau Artik itu, yang berulang kali dituntutnya sebelum ini.
"Kami telah membentuk rangka kerja perjanjian masa depan berhubung Greenland dan, sebenarnya, seluruh rantau Artik," kata Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya.
Beliau turut memaklumkan akan membatalkan tarif sehingga 25 peratus yang sebelum ini dijanjikan untuk dikuatkuasakan mulai 1 Februari terhadap Denmark serta sekutu rapat Eropah yang menghantar tentera ke Greenland sebagai tanda solidariti, termasuk Britain, Perancis dan Jerman. Trump kemudian memberitahu wartawan perjanjian itu "memberikan segala yang kami mahukan" dan akan berkuat kuasa "selama-lamanya". Apabila ditanya sama ada AS akan memperoleh kedaulatan ke atas pulau yang luas tetapi jarang penduduk itu, Trump teragak-agak sebelum berkata; "Ia adalah perjanjian jangka panjang yang muktamad." "Saya fikir ia meletakkan semua pihak dalam kedudukan yang sangat baik, terutama dari segi keselamatan, mineral dan segala-galanya. "Ia perjanjian yang disambut baik orang ramai, sangat hebat untuk Amerika Syarikat, memberikan semua yang kami mahukan," katanya Jurucakap NATO, Allison Hart, berkata Denmark, Greenland dan Amerika Syarikat akan berunding bagi "memastikan Russia dan China tidak pernah memperoleh tapak – secara ekonomi atau ketenteraan – di Greenland", iaitu kebimbangan utama yang sering dibangkitkan Trump. Susulan itu, pasaran global yang sebelum ini bergolak akibat pertikaian dan ancaman tarif menunjukkan kelegaan, dengan indeks utama Wall Street meningkat.
Ancaman Trump sebelum ini mencetuskan salah satu krisis transatlantik terbesar dalam beberapa dekad, dengan amaran beliau boleh memusnahkan NATO secara bersendirian melalui pencerobohan terhadap negara anggota.
Pusingan U pendirian itu, membawa kelegaan berhati-hati di Denmark, sekutu setia AS sejak sekian lama, selepas bahasa keras Trump mencetuskan kejutan dan rasa dikhianati.
"Trump menyatakan beliau akan menghentikan perang perdagangan, dengan berkata, 'Saya tidak akan menyerang Greenland'. Ini mesej yang positif," kata Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen, kepada stesen televisyen DR.
Minggu minggu lalu, Lokke terbang ke Washington dan bertemu Naib Presiden JD Vance. Beliau dilaporkan berkata, AS masih bertegas mahu menguasai Greenland.
Salah seorang daripada dua ahli parlimen Greenland di Parlimen Denmark, Aaja Chenmitz, mempersoalkan mengapa NATO mempunyai suara mengenai kekayaan mineral pulau itu.
"NATO sama sekali tidak berhak berunding mengenai apa-apa tanpa kami, Greenland. Tiada apa mengenai kami tanpa kami," tulisnya. Di Nuuk, ketika pihak berkuasa mula mengedarkan risalah mengenai cara menghadapi krisis, pesara berusia 65 tahun, Lis Steenholdt, berkata Greenland dan Denmark tetap tegas bahawa pulau itu bukan untuk dijual.
"Anda perlu percaya kepada sistem. Itulah satu-satunya pilihan yang kita ada sekarang," katanya. Trump berulang kali berkata AS, kuasa utama NATO, berhak memiliki Greenland kerana terpaksa mempertahankan pulau itu daripada Russia atau China, walaupun kedua-dua negara tidak mempunyai sebarang tuntutan ke atas pulau berkenaan.
Berucap di Davos buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, Trump menggelar Denmark "tidak tahu berterima kasih" namun kelihatan menarik balik ancaman tindakan ketenteraan.
"Saya tidak mahu menggunakan kekerasan. Saya tidak akan menggunakan kekerasan. Apa yang diminta Amerika Syarikat hanyalah sebuah tempat bernama Greenland," katanya.
Trump, 79, beberapa kali tersilap merujuk Greenland sebagai Iceland dalam ucapannya. Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menerima tepukan gemuruh di Davos Selasa lalu, apabila memberi amaran mengenai "keretakan" dalam susunan global yang lama dipelopori Washington.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pula berkata Eropah tidak akan dibuli. Trump mengkritik kedua-dua pemimpin itu, termasuk mengejek Macron kerana memakai cermin mata hitam di Davos. Presiden Perancis itu menyatakan terpaksa memakai cermin mata hitam kerana ada masalah mata.
|