PENCEMARAN Sungai Sayong, Kampung Orang Asli Sayong Pinang dekat Kota Tinggi. FOTO Facebook Hahasrin Hashim
Johor Bahru: Pengurus dan operator sebuah kilang kelapa sawit ditahan semalam, susulan pencemaran di Sungai Sayong, Kampung Orang Asli Sayong Pinang dekat Kota Tinggi dua hari lalu.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 40-an itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 37(C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata, penahanan dilakukan hasil perluasan radius siasatan dan penjejakan di sepanjang alur sungai yang sekali gus berjaya mengesan punca pencemaran disyaki dari kilang yang beroperasi di kawasan Layang-Layang, Kluang itu.
"Penahanan ini bagi membolehkan siasatan rapi dilengkapkan sebelum pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah. JAS Johor menegaskan tiada kompromi terhadap jenayah alam sekitar," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan teknikal di premis menemui bukti pelanggaran serius apabila terdapat kegagalan pada sistem pengolahan efluen premis.
Pemeriksaan mendapati struktur 'furrow' (saluran efluen) dalam kawasan premis pecah, menyebabkan efluen mentah terlepas keluar dan mengalir terus ke punca air, seterusnya mengakibatkan pencemaran sungai yang menjejaskan penduduk setempat.
Susulan itu, Mohd Famey berkata, JAS mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis terbabit dan menggantung lesen sehingga kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya.
"Langkah ini bertujuan menghentikan serta-merta operasi kelengkapan yang menyebabkan pencemaran itu dan memastikan pematuhan sepenuhnya oleh pihak premis," katanya.
Beliau memberi peringatan kepada pihak industri agar sentiasa memastikan sistem pengolahan efluen berfungsi dengan baik dan mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata, kecuaian dalam menguruskan sisa buangan industri bukan saja merosakkan ekosistem sungai, malah menjejaskan kualiti hidup masyarakat setempat.
Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim dilaporkan berkata, JAS dan Jabatan Perikanan sedang menyiasat insiden sungai berkenaan yang bertukar gelap kehitaman, selepas menerima aduan penduduk berhubung kesannya terhadap alam sekitar dan sumber perikanan setempat.
|