Johor Bahru: Dua pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan setuju menerima wang yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi, manakala seorang Penolong Penguasa Imigresen pula didakwa atas tuduhan pecah amanah.
Tertuduh, Shamsul Hezzam Sudin, 50; Mohd Asrof Tukiman, 48 dan Ruhaya Hamzah, 39, semuanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dihadapi mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Shamsul Hezzam yang juga Pegawai Imigresen Kanan Gred KP2 bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Johor didakwa setuju menerima wang tunai RM8,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Pahlawan, Bukit Saujana di sini, antara 7 hingga 8 Julai tahun lalu.
Bagi Mohd Asrof yang menghadapi tiga pertuduhan pula didakwa sebagai Pegawai Imigresen Gred KP2 di AKPS, Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, setuju menerima wang keseluruhannya berjumlah RM6,490 tanpa balasan melalui akaun milik seorang lelaki kepada akaun miliknya.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank dekat Taman Seri Bahagia di sini, pada 21 Mei hingga 2 Jun tahun lalu.
Shamsul Hezzam dan Mohd Asrof tahu perkara dilakukan itu ada kaitan dengan tugas rasminya bagi membantu mendapatkan cap pengesahan keluar dan masuk ke Malaysia secara tidak teratur (pasport terbang) tanpa kehadiran fizikal pemilik-pemilik pasport yang tidak mematuhi syarat ditetapkan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Ruhaya yang juga Penolong Penguasa Imigresen KP29 dan memegang jawatan Bendahari Kelab Kebajikan Rekreasi, Inovasi dan Sukan (KKRIS), Jabatan Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, dengan curang menggunakan untuk dirinya wang berjumlah RM61,300 daripada akaun milik kelab kebajikan itu.
Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah bank di Kulai, antara 26 Januari 2023 hingga 15 November 2023, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Chan Lee Lee dan Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling.
Shamsul Hezzam kemudian dibenarkan diikat jamin sebanyak RM8,000, manakala Mohd Asrof dan Ruhaya masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Februari dan 11 Mac depan bagi serahan dokumen.
|