
KUCHING: Pertandingan ratu cantik Miss Grand Kuching 2026 kini dibuka untuk penyertaan kepada wanita Malaysia bukan beragama Islam berumur antara 18 hingga 35 tahun, sebuah platform pembangunan diri yang menekankan keyakinan, kepimpinan dan peranan wanita dalam masyarakat moden.
Pengarah Divisyen Miss Grand Kuching 2026 Bunny Bimba (gambar) dalam satu kenyataan semalam berkata, penganjuran Miss Grand Kuching 2026 bukan sekadar menilai kecantikan luaran, sebaliknya memberi fokus kepada pembentukan sahsiah, kemahiran komunikasi dan kesedaran sosial dalam kalangan peserta.
“Miss Grand Kuching 2026 merupakan satu perjalanan pembinaan diri. Kami mahu melahirkan wanita yang yakin dengan jati diri, berani menyuarakan pandangan serta mampu menjadi wakil yang membanggakan Kuching dan Sarawak di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau menambah lagi bahawa pertandingan tersebut turut menitikberatkan nilai kesopanan serta keterbukaan budaya, sejajar dengan identiti Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian etnik, adat dan keharmonian masyarakat.
Justeru, Miss Grand Kuching 2026 tidak melibatkan segmen pertandingan pakaian renang.
Langkah tersebut jelasnya, bertujuan memberi ruang kepada peserta untuk menonjolkan keyakinan diri, intelektual dan keperibadian tanpa tekanan stereotaip.
Antara syarat utama penyertaan adalah peserta mestilah warganegara Malaysia, bukan beragama Islam, mempunyai ketinggian minimum 160 sentimeter serta bersedia menanggung kos penyertaan sendiri seperti yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Peserta terpilih akan mengikuti pelbagai sesi latihan dan bimbingan merangkumi pembangunan personaliti, kemahiran komunikasi, pengucapan awam serta persediaan pentas sebagai persediaan menghadapi pertandingan akhir.
Pengumuman rasmi finalis Miss Grand Kuching 2026 dijadualkan pada 11 April 2026 sebelum mereka menjalani program intensif yang turut bertujuan membentuk peserta sebagai duta kecil bagi membawa imej positif Kuching dan Sarawak.
Penganjuran Miss Grand Kuching 2026 dilihat sebagai usaha berterusan dalam menyediakan platform berprestij kepada wanita muda Sarawak untuk menyerlahkan potensi diri serta bersaing di peringkat lebih tinggi dengan penuh disiplin, keyakinan dan jati diri.
Hubungi Bunny di talian 019-5913697 untuk keterangan lanjut.
|