Baling: Sudah 21 jam operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah dilakukan di Kampung Besah, Mukim Tawar, di sini, namun kepulan asap dan api masih kelihatan pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, operasi disambung semula jam 9 pagi ini membabitkan seramai 33 anggota BBP Baling.
Beliau berkata, operasi itu turut disertai pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Hasil pemerhatian mendapati, bahan buangan di kawasan tapak pelupusan sampah itu adalah bahan buangan industri yang dikarungkan dalam guni bersaiz besar dan mempunyai banyak lapisan.
"Pagi ini, kerja pemadaman mendapat bantuan daripada jentera pengorek kaut (backhoe) dan sebuah jentera pengorek (excavator) yang bertujuan membuat takungan serta perparitan bagi membolehkan penyerapan air pada lapisan bawah sampah berbanding menggunakan timbunan tanah kerana struktur sampah yang berongga dan kembali menyala," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, setakat ini kebakaran adalah terkawal dan Pos Kawalan Bomba (PKB) turut diaktifkan hari ini bagi pengumpulan maklumat berkaitan kejadian itu.
Beliau berkata, makluman berkaitan kebakaran itu daripada penduduk kampung dan mendapat perhatian selepas tular di media sosial.
Menurutnya, bomba menerima panggilan jam 12 tengah hari apabila keadaan semakin tidak terkawal dan api sangat marak.
Media semalam melaporkan, bomba menghabiskan masa lebih empat jam 'berperang' dengan api yang merebak di kawasan tapak pelupusan sampah di Kampung Besah.
Kebakaran membabitkan sisa buangan domestik dari kilang berhampiran.