
Chong (tengah) bercakap dengan Kong (kanan) dan Chong Siew Chiang semasa berada di kompleks Mahkamah Kuching, hari ini. – Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Mahkamah Rayuan menetapkan 19 Februari 2026 sebagai pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan membabitkan rayuan yang difailkan oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen terhadap keputusan kes saman sivil ‘black hole.’
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Ismail Brahim dan Muniandy Kannyappan menetapkan demikian setelah mendengar penghujahan daripada perayu dan responden dalam prosiding hari ini.
Semasa prosiding, Michael Kong yang mewakili Chong antara lain berhujah bahawa adalah wajar kes tersebut dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.
Menurutnya, langkah itu akan memberi peluang kepada semua pihak untuk melitigasikan kes berkenaan dengan sewajarnya, serta memastikan perbicaraan dikendalikan oleh seorang hakim perbicaraan yang berkeupayaan untuk menegakkan keadilan selepas meneliti dan mempertimbangkan semua keterangan dengan sewajarnya.
Tambah Kong, adalah menjadi hak dan budi bicara pihak-pihak yang terlibat untuk menentukan saksi-saksi yang akan dipanggil dalam perbicaraan.
Bagaimanapun, dalam kes ini katanya, Pesuruhjaya Kehakiman yang mengendalikan kes tersebut terdahulu dikatakan telah bertindak atas kehendaknya sendiri dengan mengetepikan sepina yang dikeluarkan terhadap Dato Sri Wong Soon Koh serta menghalang beliau daripada memberi keterangan bagi pihak defendan.
Justeru, Peguam Negeri Mohamad Adzrul Adzlan yang mewakili responden antara lainnya menegaskan bahawa perbicaraan semula boleh mendatangkan prejudis yang tidak wajar kepada pihak-pihak terlibat selain menimbulkan kesulitan tidak perlu kepada para saksi.

Chong Siew Chiang (kiri) dan Chong Chieng Jen (kanan) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching hari ini. – Gambar Mohd Faisal Ahmad
Beliau turut berhujah bahawa plaintif telah memanggil dan selesai memberi keterangan tujuh orang saksi sebelum ini, selain mengemukakan beberapa permohonan pindaan pada peringkat lewat perbicaraan.
Tambahnya, pemanggilan Dato Sri Wong Soon Koh sebagai saksi pada saat-saat akhir disifatkan sebagai cubaan untuk membawa masuk keterangan yang tidak pernah dinyatakan sebelum ini, justeru Pesuruhjaya Kehakiman telah bertindak wajar menolak permohonan tersebut.
Beliau kemudian menegaskan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman berkenaan telah mengendalikan perbicaraan secara teratur sepanjang prosiding kes berlangsung. Selain Kong, Chong Chieng Jen turut diwakili peguam Chong Siew Chiang, Chong Hong Hien, Sharon Lo dan Brenda Chong.
Sementara itu, pihak responden turut diwakili Mohamad Muhaimin Zakaria, Felicity Thomas dan Christie Sereni Philimon.
Pada 2013, Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin, mendakwa bahawa sejumlah RM11 bilion daripada perbendaharaan negeri telah ‘hilang’ ke dalam sebuah ‘black hole’ yang membawa maksud berlaku pengurusan kewangan tidak telus oleh Kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak.
Susulan itu, Kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak (plaintif) memfailkan saman fitnah terhadap Chong dengan perbicaraan bermula pada 7 Januari 2021 dan berakhir pada 5 Julai 2021.
Pada 30 Ogos 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai, yang kini Hakim Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, memutuskan memihak kepada plaintif dengan menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM150,000 serta kos guaman RM50,000.
Mahkamah turut memberikan perintah injunksi yang menghalang Chong sama ada secara sendiri atau melalui pekerja, ejen atau pihak lain daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata atau kenyataan yang sama atau seumpamanya.
Sumber : Utusan Borneo
|