
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo selama tiga tahun kerana merogol gadis berusia 14 tahun sehingga mengandung. Majistret Ling Hui Chuan mengarahkan ibu bapa atau penjaga tertuduh untuk melawat anak mereka yang berusia 15 tahun itu sebulan sekali sepanjang berada di sekolah tersebut. Hari ini merupakan sebutan semula kes untuk mendengar laporan akhlak tertuduh. Tertuduh terdahulunya mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar waktu malam pada Februari 2025 di sebuah rumah di Jalan Stampin Baru di sini. Fakta kes mendedahkan tertuduh dan mangsa merupakan pasangan kekasih, dengan kedua-duanya melakukan hubungan seks atas dasar suka sama suka di rumah tersebut, malah tertuduh dilaporkan telah tinggal di rumah mangsa sejak Februari 2025. Keluarga mangsa juga pernah meminta tertuduh untuk keluar dari rumah mereka, namun tertuduh enggan susulan menghadapi masalah keluarga. Tertuduh bagaimanapun dilaporkan berpindah keluar dari rumah mangsa sekitar awal Ogos 2025. Pada Ogos 2025 juga, mangsa dilaporkan mengandung dan tertuduh enggan bertanggungjawab, bahkan tertuduh memaksa mangsa untuk mengugurkan kandungan. Mangsa seterusnya menceritakan kejadian tersebut kepada ibu saudaranya, yang kemudiannya membawa mangsa ke klinik berdekatan sebelum disahkan oleh doktor bahawa dia mengandung enam bulan pada ketika itu. Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan ini membawa kepada penangkapan tertuduh. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
|