Antara kenderaan yang musnah di bengkel baiki kenderaan dalam kebakaran yang merebak dari kawasan belukar di Taman Bukit Mewah, semalam. FOTO ihsan Bomba
Johor Bahru: Sebanyak 18 kenderaan di sebuah bengkel membaiki kenderaan musnah dalam kebakaran belukar yang merebak di kawasan bersebelahan Masjid Al Mahabah, Taman Bukit Mewah di sini, tengah hari semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.32 tengah membabitkan kebakaran belukar seluas kira-kira 0.372 hektar.
Beliau berkata, kebakaran merebak dengan cepat termasuk ke sebuah bengkel kenderaan berhampiran.
Menurutnya, operasi diketuai Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I, Nakish Nekmat.
"Dua jentera ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota.
"Operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan dua unit alat pemerap api, aliran salur bantu mula air serta tiga aliran sepanjang 121 meter dengan sumber air daripada pam jentera dan pili bomba berhampiran.
"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.37 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 petang selepas keadaan disahkan selamat," katanya menerusi suatu kenyataan media.
Beliau berkata, kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa namun mengakibatkan kerugian dialami apabila sebahagian besar kenderaan yang terbakar musnah sehingga 80 peratus.
Menurutnya, antara kenderaan yang musnah termasuk Hyundai Atoz, Perodua Kancil, Naza Ria, Proton Perdana, Proton Savvy, Perodua Kelisa, Proton Saga FLX, sebuah van serta lima kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti.
Katanya, kenderaan lain termasuk Proton Saga, BMW E60, Proton Inspira dan sebuah Perodua Kelisa.
"Bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta kerugian akibat kejadian," katanya.
|