Mohammad Azrin didenda RM20,000 selepas mengaku menjadi keldai akaun. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Kamu tahu kes seperti ini (keldai akaun) menjadi semakin serius hingga Parlimen terpaksa menggubal undang-undang untuk hukuman lebih berat.
"Jadi, mahkamah perlu mengambil kes ini sebagai jenayah serius," demikian peringatan Hakim Mahkamah Sesyen, Osman Affendi Mohd Shalleh sebelum menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan jualan kenderaan terpakai, hari ini.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh, Mohammad Azrin Abang, 35, yang juga bekas pekerja sebuah syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh bagaimanapun tidak mampu membayarnya. Tertuduh juga baru dibebaskan November tahun lalu selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan Mahkamah Sesyen Muar atas kesalahan sama.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak didakwa terbabit secara tidak langsung dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM15,000 ke dalam akaun bank didaftar atas namanya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Rengit, di sini pada jam 1.24 tengah hari, 4 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu sindiket berkaitan urusan jualan kenderaan terpakai pada 25 Julai tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
|