KUALA LUMPUR: Suasana tegang tercetus di Dewan Rakyat hari ini selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) bertikam lidah susulan kemelut politik terkini di Perlis.
Rayer ketika bangkit mencelah ketika sesi perbahasan Titah yang di-Pertuan Agong oleh Muhyiddin, membandingkan kestabilan politik negara dengan krisis yang berlaku di negeri paling utara itu.
"Dalam keadaan politik stabil dengan kerajaan yang kuat, kita boleh menghadapi apa jua cabaran, berbanding apa yang berlaku di Perlis," kata Rayer.
Muhyiddin yang ketika itu menyentuh mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, bagaimanapun menolak isu itu dengan menyifatkannya tidak relevan dengan perbahasan yang sedang berlangsung.
"Tidak begitu relevan dengan apa yang sedang kita bincangkan," katanya meskipun Rayer terus mempertahankan pendiriannya.
"Relevan, Pagoh! Relevan! Kestabilan politik itu relevan!" tegas Rayer.
Muhyiddin kemudian menuduh Rayer sengaja membangkitkan isu berkenaan dengan niat yang tidak baik.
"Saudara sengaja membangkitkan perkara ini untuk menunjukkan niat yang saya fikir tidak baik," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kemelut di Perlis telah pun diselesaikan mengikut proses perlembagaan.
"Masalah di Perlis telah pun diselesaikan dan dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis," katanya.
Rayer membalas dengan mempersoalkan keupayaan Perikatan Nasional untuk mentadbir.
"Jika sebuah negeri kecil pun tidak mampu ditadbir, negara akan musnah jika Perikatan Nasional memerintah," katanya.
Muhyiddin menolak dakwaan itu dan menegaskan isu tersebut telah ditangani secara berhemah.
"Tidak musnah. Perlis adalah sebuah negeri berdaulat dan perkara itu telah diselesaikan dengan bijaksana," katanya.
Disember lalu, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis atas alasan kesihatan.
Peletakan jawatan susulan tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional, termasuk tiga daripada PAS menarik balik sokongan terhadap beliau.
PAS kemudiannya memecat tiga ADUN berkenaan, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Saad Seman (Chuping) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan kerusi mereka diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri.
Pada bulan sama, ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.