SEREMBAN: Kerajaan negeri menggesa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengkaji semula berkaitan ketetapan masa tamat operasi Bazar Ramadan di Dataran Senawang, di sini, yang ditetapkan jam 12 tengah malam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tempoh masa tamat itu wajar dikaji untuk dilanjutkan bagi memberi peluang dan keselesaan kepada peniaga, pekerja serta pengunjung menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
"Kita (kerajaan negeri) minta ketetapan waktu (tamat) itu dikaji supaya dapat memberi ruang kepada peniaga, pekerja dan pengunjung yang hadir supaya mereka dapat menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
"Itu kita galakkan kerana solat Tarawih ini dikerjakan setahun sekali iaitu sepanjang Ramadan. Saya harap MBS dapat membuat kajian semula supaya memberi ruang yang lebih sedikit kepada mereka yang berkenaan.
"Lazimnya, solat Tarawih berakhir kira-kira dalam jam 10.30 malam dan selepas itu baharu mereka yang berkenaan dapat meneruskan semula aktiviti perniagaan di Bazar Ramadan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Aminuddin mengulas berhubung rungutan peserta Bazar Ramadan Dataran Senawang yang mempersoalkan syarat ditetapkan MBS dengan menetapkan masa tamat operasi bazar berkenaan pada jam 12 tengah malam setiap hari.
Difahamkan, MBS menetapkan tempoh beroperasi Bazar Ramadan di Dataran Senawang dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam.
Mereka yang gagal mematuhi peraturan berkenaan bakal dikenakan tindakan denda oleh penganjur bazar berkenaan iaitu buka lewat RM50 dan tutup lewat RM350 setiap jam.
Aminuddin berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, pengunjung yang hadir di bazar berkenaan bukan sahaja dlam kalangan penduduk setempat tetapi juga dari luar daerah termasuk Kuala Lumpur, Shah Alam, Melaka dan Pahang.
"Apabila operasi bazar itu hanya setakat jam 12 tengah malam, ia sudah tentu tidak menarik untuk mereka berkunjung atau hadir di situ bagi tujuan membeli-belah dan sebagainya, lebih-lebih bagi mereka yang datang dari jauh," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri sedang menunggu laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum membenarkan pemaju memulakan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Menurutnya, dua kawasan di Jelebu telah dikenal pasti dan diluluskan bagi aktiviti berkenaan sebagai projek perintis.
|