Operasi padam kebakaran tapak pelupusan sampah haram di Baling sudah masuk 30 jam
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 28, 2026 @ 6:43pm

Anggota bomba sedang memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, Mukim Tawar, Baling. - Foto BOMBA
BALING: Cuaca panas dan angin menyebabkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, Mukim Tawar, dekat sini sukar dipadam walaupun sudah memasuki 30 jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pasukan bomba masih bertungkus-lumus di lokasi untuk memadam kebakaran.
Beliau berkata, kebakaran itu membabitkan bahan sisa kering menyebabkan api cepat merebak terutama ketika panas terik.
"Operasi memadam turut dibantu lori Syarikat Air Darulaman (SADA) selain jentera bomba tanpa henti.
"Bomba melakukan teknik 'fire break' untuk memisahkan jarak kebakaran dan kawasan yang belum dijilat api," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, beberapa wakil agensi seperti SW Corp, Majlis Daerah Baling, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, terdapat dua jentera pengaut digunakan untuk melakukan kerja-kerja dalam operasi hari ini.
"Setakat ini masih terdapat kepulan asap dan api di lokasi, " katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah tapak pelupusan sampah di Kampung Besah, Mukim Tawar, di sini terbakar menyebabkan pasukan bomba melakukan pemadaman sebaik menerima panggilan jam 12 tengah hari semalam.
Kebakaran itu membabitkan bahan buangan di kawasan itu membabitkan sisa buangan domestik dan kilang berhampiran dan operasi ketika itu dilakukan lapan anggota serta dibantu dua anggota dengan jentera tangki air dari BBP Pengkalan Hulu, Perak.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1502662/operasi-padam-kebakaran-tapak-pelupusan-sampah-haram-di-baling-sudah
|