Upah lumayan punca rakyat negara sanggup jadi 'tali barut' bawa masuk migran
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 28, 2026 @ 5:22pm

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah ketika sidang media tangkapan kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia di IPK Kedah. - NSTP/ Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Faktor upah lumayan antara punca rakyat negara ini sanggup menjadi 'tali barut' kepada sindiket untuk membawa masuk migran ke negara ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata perkara itu terbongkar hasil penahanan 66 ejen membabitkan warga tempatan sepanjang tempoh antara 2023 hingga kelmarin.
Jumlah itu, katanya tidak termasuk 42 ejen warga asing yang ditahan keranan terbabit aktiviti penyeludupan migran sepanjang tempoh sama.
"Modus operandi mereka menggunakan lorong tikus sama ada melalui sempadan Padang Besar di Perlis; Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah, selain sempadan perairan antarabangsa Thailand-Malaysia ke Langkawi dengan menggunakan bot-bot kecil," katanya pada sidang media hari ini.
Adzli berkata, aktiviti penyeludupan migran agak membimbangkan kerana jenayah itu boleh menggugat keselamatan negara, selain mengganggu ketenteraman awam.
Berdasarkan rekod, katanya 577 migran pelbagai warganegara ditahan sejak 2023, dengan Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi 481 orang.
"Mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan atas beberapa faktor, antaranya keadaan sosial dan ekonomi stabil serta kedudukan negara yang terletak berhampiran Myanmar.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan membawa banyak kesan buruk kepada negara dan saya difahamkan, depoh tahanan juga penuh menyebabkan negara terpaksa menanggung kos makanan, perubatan dan tempat tinggal sementara buat migran ini," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Adzli berkata 70 warga Myanmar dan Amerika Syarikat serta tiga warga tempatan dipercayai terbabit aktiviti penyeludupan migran ditahan menerusi tiga tangkapan berasingan Op Pintas Khas di Kubang Pasu dan Baling sepanjang bulan ini.
"Mereka membabitkan 11 ejen warga Myanmar, tiga ejen warga tempatan dan 59 migran warga Myanmar dan Amerika Syarikat berusia antara setahun hingga 61 tahun, ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/01/1502629/upah-lumayan-punca-rakyat-negara-sanggup-jadi-tali-barut-bawa-masuk
|