Georgetown: Pembangunan berlebihan yang terlalu hampir dengan garis pantai, tambakan laut, pembinaan struktur keras seperti tembok dan benteng tanpa kajian menyeluruh antara faktor yang dipercayai menyebabkan kawasan pesisir pantai Batu Feringgi dan Tanjong Bungah di sini, terdedah kepada hakisan teruk.
Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Andika Putera berkata, pengabaian ekosistem semula jadi terhadap bakau dan zon penampan juga turut mengganggu keseimbangan dinamik pantai.
"Akibatnya, kawasan pesisir menjadi semakin terdedah kepada hakisan yang lebih teruk dari tahun ke tahun.
"MUDA Pulau Pinang berpandangan bahawa langkah mitigasi jangka panjang tidak seharusnya terhad kepada projek kejuruteraan semata-mata.
"Tetapi mesti disertai dengan penilaian semula dasar pembangunan pantai, penguatkuasaan kawalan pembangunan yang lebih tegas serta komitmen bagi memelihara ekosistem semula jadi sebagai benteng pertahanan pertama terhadap hakisan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Andika berkata demikian bagi mengulas kenyataan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, semalam berkenaan kejadian hakisan pantai di pesisir pantai Batu Ferringi dan Tanjong Bungah di sini, adalah kejadian alam yang berlaku setiap tahun akibat Monson Timur Laut (MTL).
Namun katanya, kali ini menyaksikan hakisan yang semakin teruk berbanding tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut Andika berkata, kerajaan negeri perlu lebih telus dan berani mengakui kelemahan perancangan lalu supaya penyelesaian yang dilaksana benar-benar mampan demi keselamatan orang awam, kelestarian alam sekitar dan masa depan sektor pelancongan Pulau Pinang.
Ahad lalu, media melaporkan kejadian tiga pokok rhu yang tumbang di pesisir pantai di Batu Feringgi sekali gus membimbangkan pengunjung dan masyarakat berhampiran mengenai keselamatan serta hakisan tebing.
Kira-kira 200 meter dari lokasi berkenaan, berlaku kejadian yang sama membabitkan beberapa pokok kelapa bersaiz kecil ketika pengunjung berkelah serta mandi di pantai berhampiran.