HAIRUZAM (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ab Rahaman di IPK Johor hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor komited untuk mempererat hubungan strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bagi memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti serta kepercayaan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara.
Komitmen itu dizahirkan susulan kunjungan hormat Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamin ke atas Ketua Polis Johor Komisioner Datuk Ab Rahaman Arsad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Hairuzam berkata, usaha memperkukuh kerjasama itu adalah selari dengan kepentingan penghayatan prinsip Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang menjadi panduan utama dalam membentuk budaya kerja berintegriti tinggi.
"Pertemuan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi khususnya dalam pelaksanaan program pencegahan rasuah.
"Selain itu, kita turut meneroka peluang penganjuran program sukan dan rekreasi bersama pada tahun ini serta aspek operasi, termasuk penggunaan kemudahan lokap sekiranya diperlukan," katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, Senior Asisten Komisioner Chuah Yong Huat; Ketua Siasatan Negeri SPRM Johor, Azrul Mizam Othman serta Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Johor, Mohd Ridzuan Bahrin.
Dalam pada itu, Datuk Ab Rahaman menyambut baik kerjasama tersebut dan turut mengutarakan cadangan penting mengenai pengendalian kes melibatkan warga PDRM.
Beliau mencadangkan supaya sebarang siasatan yang membabitkan pegawai atau anggota polis dapat disegerakan.
Menurutnya, langkah ini kritikal bagi memastikan ketelusan proses keadilan serta mengekalkan keyakinan awam terhadap integriti pasukan keselamatan berkenaan.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, SAC Chuah Yong Huat; Ketua Siasatan Negeri SPRM Johor, Azrul Mizam Othman serta Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Johor, Mohd Ridzuan Bahrin.
|