CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12014|Reply: 0

[Sabah] Ewon terus gesa Persekutuan gugur rayuan tuntutan hak 40 peratus Sabah

[Copy link]
Post time 29-1-2026 09:23 AM | Show all posts |Read mode


BAHAS: Ewon ketika membahaskan usul pada sesi persidangan Parlimen di Kuala Lumpur pada Selasa.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa supaya menggugurkan rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan hak 40 peratus Sabah.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, gesaan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025.

Menurutnya, tindakan menggugurkan rayuan dan melaksanakan perintah mahkamah itu penting bagi menghapuskan rasa sangsi dalam kalangan rakyat Sabah terhadap komitmen kerajaan Persekutuan.

Selain itu katanya, ia juga bagi menghormati hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Rakyat Sabah hanya mahu hak mereka dikembalikan. Mereka tidak akan mempertikai hak istimewa negeri-negeri lain dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka hanya mahu hak Sabah dihormati dan dilaksanakan.

“Jika hak istimewa setiap negeri dihormati dan dilaksanakan, maka perpaduan dan negara Malaysia dapat dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi persidangan Parlimen di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sementara itu, Ewon turut meminta penjelasan mengenai status beberapa perkara yang dirujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, termasuk isu royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah, hak negeri ke atas pelantar benua serta duti setem berkaitan urus niaga tanah di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut bertanya bilakah jawatankuasa berkenaan akan bersidang bagi memuktamadkan perkara-perkara terbabit.

Ewon juga menyatakan sokongan penuh terhadap agenda reform nasional, antaranya penyasaran semula subsidi kerajaan, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal Perdana Menteri, penggubalan undang-undang pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan undang-undang lapuk serta inisiatif pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.

Bagaimanapun katanya, agenda reform itu perlu merangkumi kepentingan Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan penuh MA63.

"Dari aspek ekonomi, Sabah merupakan wilayah strategik di rantau Asia Pasifik dan memerlukan sokongan lebih menyeluruh bagi menarik pelaburan, termasuk melalui inisiatif BIMP-EAGA," katanya.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai insentif pelaburan untuk menyokong pertumbuhan Ekonomi Biru Sabah, pembangunan taman perindustrian, cadangan pewujudan zon ekonomi khas, pembinaan lapangan terbang baharu di Lahad Datu atau Kota Kinabalu, pengembangan industri hiliran minyak sawit, pembangunan bersama dengan Indonesia di Laut Sulawesi serta cadangan mengembalikan status bebas cukai Labuan.

“Sejak bertahun lamanya, Sabah menyumbang kepada hasil Persekutuan melalui sumber petroleum. Pada pandangan rakyat Sabah, sumbangan ini membantu ‘subsidize’ pembangunan di negeri-negeri lain.

"Sehubungan itu, pelaksanaan semula hak 40 peratus seperti dipersetujui dalam MA63 amat penting bagi membiayai pembangunan infrastruktur, pembasmian kemiskinan, kesejahteraan rakyat, biasiswa, peluang pekerjaan dan peluasan perkhidmatan awam di Sabah," katanya.

Ewon berkata, kawasan Parlimen Penampang sendiri memerlukan peruntukan besar bagi projek tebatan banjir, pembaikan jalan raya dan utiliti, serta pembinaan hospital dan sekolah.

“Pelaksanaan semula hak 40 peratus Sabah akan membantu memenuhi keperluan rakyat. Rakyat Sabah telah bersuara dan akan terus bersuara.

“Di sebalik ketegasan semangat 'Sabah First', jiwa rakyat Sabah untuk negara Malaysia sebenarnya sangat besar. Kerana tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada negara Malaysia ini yang ditubuhkan pada 16 September 1963,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2026 07:52 PM GMT+8 , Processed in 1.387301 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list