
MANSUH: Ewon mencadangkan agar JKKK Persekutuan di Sabah dimansuhkan semasa berbahas sesi Persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, pada Selasa.
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah perlu dimansuhkan memandangkan negeri ini mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK sendiri.
Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu penting bagi menghormati perundangan Negeri Sabah sebagai sebahagian daripada agenda reform nasional.
“Penampang menyokong penuh agenda-agenda reform nasional dan ia harus mencakupi kepentingan Sabah dan Sarawak iaitu pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini termasuklah menghormati perundangan negeri berkaitan pentadbiran di kampung. Sabah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK, justeru Penampang menggesa kerajaan Persekutuan memansuhkan pewujudan JKKK Persekutuan di Sabah,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas usul menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi Persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Beliau berkata, campur tangan kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran kampung, sedangkan Sabah telah mempunyai kerangka perundangan sendiri, menimbulkan rasa sangsi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sabah.
Sehubungan itu, Ewon menegaskan perkara berkenaan memerlukan penjelasan serta maklum balas yang jelas daripada kerajaan Persekutuan pada masa ini. “Rakyat Sabah telah menyampaikan mesej yang jelas dan menuntut agar perkara ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sememangnya penting dan perlu dipelihara, namun ia mesti dilaksanakan dengan menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, selaras dengan MA63 dan syarat-syarat yang dipersetujui bersama.
Sumber : Utusan Borneo
|