
EWON
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya dokumen-dokumen utama pembentukan negara seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee, IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan naskhah buku wajib di semua perpustakaan sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata, cadangan itu selari dengan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong yang menggesa rakyat kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, iaitu perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Atas Titah Diraja ini, Penampang mencadangkan agar silibus mata Pelajaran Sejarah dan Pengajian Am di sekolah dipinda bagi memasukkan lebih banyak kandungan berkaitan penubuhan negara Malaysia yang berasaskan kepada MA63 dengan syarat-syarat yang telah dipersetujukan untuk Sabah dan Sarawak.
“Ini termasuk menjadikan dokumen-dokumen seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Inter-Governmental Committee (IGC) dan MA63 sebagai naskhah buku yang wajib ada di semua perpustakaan sekolah di seluruh negara supaya para pelajar dapat mengetahui dokumen-dokumen perlembagaan negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Ewon berkata, pendedahan awal kepada dokumen-dokumen bersejarah itu diyakini dapat memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan kerjasama dalam kalangan rakyat Malaysia apabila dewasa kelak, khususnya mereka yang bakal menyertai perkhidmatan awam.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap usaha yang dilaksanakan bagi memastikan MA63 dilaksanakan mengikut semangat asal, termasuk penyelesaian 13 perkara setakat ini.
Bagaimanapun katanya, terdapat dua perkara besar yang perlu dilaksanakan semula, iaitu Perkara 112C berkaitan hak 40 peratus Sabah serta penetapan kerusi Dewan Rakyat tidak kurang daripada satu pertiga untuk Sabah dan Sarawak.
Mengenai pendidikan, Ewon menyatakan sokongan penuh terhadap Titah Diraja berhubung Bahasa Melayu sebagai asas sistem pendidikan negara.
Pada masa sama, beliau berpendapat silibus bahasa-bahasa ibunda juga perlu diperkenalkan di sekolah-sekolah, khususnya apabila mendapat permintaan daripada ibu bapa setempat.
Dalam pada itu, Ewon turut bertanya status pengembangan silibus bahasa ibunda seperti Kadazan Dusun, termasuk bahasa Kadazan Tangaa, Tatana, Murut Timogun dan Dusun Lotud, serta bahasa Orang Asli, di samping tahap pengiktirafan dan kesediaan Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan cadangan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo
|