
Bot tunda yang ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Bintulu semalam.
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda susulan kesalahan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Lembaga Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981, semalam.
Bot tunda tersebut ditahan di kedudukan 5.1 batu nautika barat Kuala Kemena pada jam 5 petang.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda tersebut ditahan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Ops Tiris 3.0, Ops Permai 01/2019 dan Ops Pelantar Merah 03/2023 semasa sedang belayar menuju Kuala Kemena.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tunda itu dikendalikan oleh lima kru warga tempatan termasuk nakhoda serta seorang kru warga Indonesia, kesemuanya dalam lingkungan umur antara 20 hingga 58 tahun.
"Bot tunda yang disyaki itu telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 iaitu Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah tidak disimpan di atas kapal.
"Diikuti kesalahan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu lesen penguntukan radas telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Kru yang diperiksa oleh Maritim Malaysia Zon Bintulu dalam operasi semalam.
Beliau berkata, sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Justeru katanya, bot tunda berserta dokumen yang ditahan itu telah diiringi masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat serta aduan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun insiden kemalangan di laut, boleh menyalurkannya secara terus ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau talian Kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
|