CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 11592|Reply: 0

[Sarawak] Sarawak perlu autonomi lebih besar dalam pendidikan

[Copy link]
Post time 29-1-2026 09:45 AM | Show all posts |Read mode
Dasar kerajaan mengenai kemasukan awal murid ke Tahun Satu bukti keperluan mendesak kepada autonomi

“Kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang awam dan warga pendidik adalah berkaitan kesediaan kanak-kanak, keadilan serta pelaksanaan dasar.”

Peter John Jaban
Pengasas Saya Anak Sarawak

KUCHING: Kontroversi berhubung dasar kerajaan persekutuan mengenai kemasukan awal murid ke Tahun Satu membuktikan keperluan mendesak  Sarawak diberikan autonomi lebih besar dalam bidang pendidikan.

Perkara itu ditegaskan Pengasas Saya Anak Sarawak Peter John Jaban (gambar) sambil menambah, keputusan kerajaan untuk mengkaji semula dan kemudian membatalkan sebahagian dasar berkenaan menunjukkan kegagalan pendekatan pendidikan berpusat dalam memahami realiti dan cabaran sebenar di Sarawak.

Menurut beliau, dasar yang dirangka, diumum dan diubah dalam tempoh singkat mencerminkan jurang ketara antara pembuat dasar di Putrajaya dengan keadaan sebenark anak-kanak, ibu bapa dan pendidik di Sarawak.

Beliau berkata,  isu tersebut bukan sekadar pertikaian politik, sebaliknya melibatkan kepentingan awam yang memberi kesan langsung kepada pelajar, guru dan ibu bapa di seluruh negara, termasuk di Sarawak.

“Kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang awam dan warga pendidik adalah berkaitan kesediaan kanak-kanak, keadilan serta pelaksanaan dasar.

“Keputusan kerajaan untuk menarik balik sebahagian dasar ini membuktikan kebimbangan tersebut adalah berasas,” katanya.

Peter berkata keputusan yang memberi kesan kepada jutaan pelajar itu dibuat tanpa perundingan yang cukup dan tanpa penilaian lapangan menyeluruh, sekali gus gagal mengambil kira perbezaan wilayah, khususnya keadaan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Beliau berkata landskap pendidikan Sarawak amat berbeza berbanding Semenanjung Malaysia, terutama dari segi geografi, kekangan infrastruktur dan cabaran sosioekonomi.

“Masih banyak sekolah di Sarawak terletak di kawasan pedalaman yang hanya dapat diakses melalui sungai atau jalan balak.

“Ada sekolah yang masih bergantung kepada penjana kuasa, tidak mempunya ibekalan air bersih, serta berdepan kekurangan bilik darjah dan guru,” katanya.

Menurut beliau, kanak-kanak di kawasan tersebut sudah berhadapan pelbagai cabaran hanya untuk hadir ke sekolah, dan pelaksanaan dasar nasional secara seragam — termasuk umur kemasukan sekolah, ujian dan kadar pembelajaran — berisiko menambah jurang pendidikan.

“Apa yang sesuai di kawasan bandar tidak semestinya sesuai di luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Peter berkata kontroversi dasar ini sekali lagi membuktikan pendekatan ‘satu dasar untuk semua’ tidak sesuai dilaksanakan di Sarawak dan boleh memberi kesan negatif kepada golongan paling terpinggir.

Beliau menegaskan tuntutan Sarawak terhadap autonomi pendidikan selaras dengan semangat dan maksud Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mengiktiraf Sarawak sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia dan memberikan perlindungan khas dalam bidang tadbir urus dan pembangunan.

“Pendidikan adalah asas pembinaan masa depan negeri dan negara. Oleh itu, Sarawak perlu diberi ruang untuk menyesuaikan dasar pendidikan mengikut reality tempatan,” katanya.

Peter menjelaskan, autonomi lebih besar tidak bermaksud menolak piawaian nasional, sebaliknya memberi kuasa kepada Sarawak untuk menyesuaikan dasar, mengutamakan pembangunan infrastruktur pendidikan dan menetapkan garis masa yang lebih realistik.

Beliau berkata pendidik dan pentadbir tempatan perlu diberi kepercayaan dan kuasa kerana mereka lebih memahami cabaran sebenar di lapangan.

“Pemusatan telah berulang kali gagal menangani keperluan pendidikan anak-anak Sarawak. Isu dasar Tahun Satu ini hanyalah satucontoh yang jelas,” katanya.

Sebarang keputusan pendidikan yang melibatkan Sarawak perlu dibuat melalui perundingan bersama Negeri dan bukan dilaksanakan secara sepihak, tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2026 09:34 PM GMT+8 , Processed in 0.143978 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list