Sibu wajar diberi perhatian, dimasukkan dalam pelaksanaan program utama di bawah inisiatif berkenaan

Ting (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Sibu yang pertama bagi tahun ini.“Memandangkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Datuk Seri Tiong King Sing) ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dudong, saya berharap beliau dapat mengingati Sibu dan membawa masuk program-program berkaitan TMM 2026 ke kawasan ini.”
Clarence Ting Pengerusi MPS
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menggesa supaya program di bawah inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) diperluaskan ke Sibu bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Pengerusinya Clarence Ting berkata, tahun 2026 merupakan tahun yang istimewa bukan sahaja untuk Sarawak, malah untuk Malaysia secara keseluruhannya sempena pelaksanaan TMM 2026 di peringkat nasional.
Menurut beliau, Sibu wajar diberi perhatian dan dimasukkan dalam pelaksanaan program-program utama di bawah inisiatif berkenaan.
“Memandangkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Datuk Seri Tiong King Sing) ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dudong, saya berharap beliau dapat mengingati Sibu dan membawa masuk program-program berkaitan TMM 2026 ke kawasan ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Sibu yang pertama bagi tahun ini hari ini.
Sehubungan itu, Ting menggesa pihak pentadbiran majlis supaya mengambil langkah proaktif dengan mengemukakan permohonan agar pelaksanaan TMM 2026 dapat diperluaskan ke Sibu.
“Saya berharap perkara ini dapat direalisasikan demi kepentingan pembangunan pelancongan dan ekonomi bandar Sibu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu di peringkat Sarawak susulan khabar angin mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat.
Beliau menasihatkan semua ahli majlis supaya memastikan projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah diluluskan wakil rakyat dapat dikenal pasti dan dipantau dengan lebih berkesan di kawasan masing-masing.
“Pelaksanaan projek RTP perlu dipercepatkan dan diberi perhatian serius,” katanya.
Ting turut mengingatkan Jurutera Hisham yang merupakan pegawai y bertanggungjawab terhadap pelaksanaan RTP dan meminta ahli majlis berhubung terus dengan beliau bagi memastikan semua projek yang dicadangkan dapat dilaksanakan segera.
Beliau menegaskan sebarang masalah atau isu berkaitan pelaksanaan projek perlu dimaklumkan dengan segera supaya tindakan susulan dapat diambil tanpa menunggu sehingga ke penghujung tahun.
Sumber : Utusan Borneo
|