
MIRI: Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sibuti Louis Jampi (gambar) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Sarawak mempertahankan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan kuasa kawal selia sumber minyak dan gas.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menegaskan bahawa usaha Kerajaan Sarawak untuk menuntut semula hak-hak yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia adalah berlandaskan undang-undang serta fakta sejarah.
Louis berkata, sebagai warganegara Malaysia, rakyat Sarawak dan berbangsa Iban, beliau berdiri teguh menyokong pendirian kerajaan negeri dalam mempertahankan hak yang dijamin di bawah MA63.
Menurutnya, kuasa Sarawak dalam mengawal selia industri minyak dan gas jelas termaktub dalam MA63, selain diperkukuh oleh Perlembagaan Persekutuan serta Ordinan Perlombongan Minyak 1958.
“Pendirian Kerajaan Sarawak berasaskan undang-undang, sejarah dan prinsip perlembagaan.
"Hak Sarawak ke atas minyak dan gas bukan tuntutan sewenang-wenangnya, sebaliknya berpaksikan perjanjian dan kerangka perundangan yang wujud ketika Malaysia dibentuk,” katanya.
Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman yang mendakwa Sarawak tidak mempunyai kuasa kawal selia ke atas minyak dan gas, Louis berkata pandangan sedemikian mengabaikan semangat, konteks sejarah serta niat asal MA63.
Beliau menegaskan, MA63 tidak seharusnya diperkecilkan sebaliknya perlu difahami sebagai satu kontrak perlembagaan yang menjamin hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia, termasuk hak terhadap sumber asli.
“MA63 bukan sekadar satu perjanjian ringkas.
"Ia adalah perjanjian asas yang menentukan hubungan antara rakan-rakan pengasas persekutuan,” katanya.
Menurut Louis, Sarawak tidak menuntut lebih daripada apa yang telah dipersetujui, sebaliknya hanya menegaskan pelaksanaan hak yang telah dijanjikan dan dijamin di bawah MA63.
“Penghormatan terhadap MA63 bermakna menghormati asas penubuhan Malaysia itu sendiri,” tambah beliau.
Louis turut menjelaskan bahawa kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadinya sebagai seorang pemimpin Sarawak yang berharap fakta sejarah dan perjanjian asal terus dihormati demi kepentingan jangka panjang negeri dan negara.
Sumber : Utusan Borneo
|