
Abang Johari ditemani anakandanya Dayang Norjihan (tiga kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo, hari ini. Turut sama ialah (dari kiri) Fatimah dan Dr Sim serta (dari kanan) Asfia dan Nancy. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sarawak akan terus memberi peluang kepada wanita untuk memegang jawatan kepimpinan dan membuat keputusan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, wanita memainkan peranan penting sebagai rakan dalam pembangunan dan kemajuan Sarawak tidak dapat dicapai tanpa penglibatan aktif mereka. “Dalam struktur perkhidmatan awam Sarawak, kita telah menyediakan ruang untuk wanita membuat keputusan di peringkat negeri.
“Kita baru sahaja melantik seorang wanita sebagai Timbalan Setiausaha Negeri dan jawatan kanan dalam perkhidmatan awam juga telah dibuka kepada wanita,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Selain itu, Abang Johari berkata, Sarawak juga mempunyai Pengurus Besar wanita pertama bagi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan menggambarkannya sebagai satu pencapaian penting dalam tadbir urus dan kepimpinan ekonomi negeri.
“Ini kali pertama SEDC mempunyai Pengurus Besar wanita. Sudah tentu, sebagai badan penting dalam ekonomi negeri, peranan wanita dalam memacu pembangunan ekonomi kita kini telah mendapat tempat dan saya berharap SEDC akan terus maju di bawah kepimpinan wanita,” katanya.
Beliau turut menyebut pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif wanita di Lembaga Pelabuhan Sarawak serta memberi jaminan untuk memberi lebih banyak jawatan kepimpinan yang akan terus dibuka kepada wanita di seluruh agensi negeri.
“Terdapat banyak lagi jawatan yang akan kita berikan kepada wanita, walaupun saya tidak lagi berada di sisi mereka,” katanya.
Menurutnya, wanita merupakan tulang belakang keluarga dan masyarakat, merangkumi ibu, anak perempuan, pemimpin komuniti, usahawan, penjawat awam dan pekerja sektor swasta yang memacu pembangunan Sarawak.
“Jika wanita kuat, keluarga akan kuat. Jika wanita di Sarawak kuat, Sarawak akan kuat,” katanya.
Berhubung hala tuju dasar, Abang Johari berkata, Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 akan menjadi rangka kerja utama untuk memperkasakan wanita secara menyeluruh dan teratur.
“Dasar ini menekankan pemerkasaan ekonomi, pembangunan kepimpinan, pengukuhan keselamatan dan perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan wanita secara menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak memberi penekanan besar kepada pembangunan modal insan termasuk penyediaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri bagi memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan tanpa kekangan kewangan.
Beliau berkata, wanita luar bandar dan wanita peribumi turut memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi keluarga, penjaga warisan budaya dan tonggak kestabilan sosial komuniti masing-masing.
Katanya, dapatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023 menunjukkan pemerkasaan ekonomi wanita luar bandar memberi kesan langsung kepada peningkatan tahap pendidikan anak-anak, kesihatan keluarga serta kestabilan sosial komuniti, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Abang Johari berkata, penggunaan teknologi secara bersesuaian termasuk latihan literasi digital, aplikasi perniagaan mudah alih dan akses kepada infrastruktur digital mampu memperkukuh penyertaan wanita luar bandar dan wanita peribumi dalam ekonomi moden tanpa menghakis identiti serta warisan budaya mereka.
Sumber : Utusan Borneo
|