
KUCHING: Sarawak dijangka akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi (gambar), PRN Sarawak sebelum ini berlangsung pada 18 Disember 2021 iaitu lima tahun dan pilihan raya baharu sememangnya perlu diadakan tahun ini.
“Pilihan raya negeri lalu diadakan lima tahun lepas.
“Sudah pasti PRN akan diadakan tahun ini, namun penentuan bulan pelaksanaannya adalah hak prerogatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemu bual dalam program The Breakfast Grille terbitan BFM, hari ini.
Bagaimanapun Nanta enggan memberi sebarang bayangan mengenai tarikh sebenar PRN.
Mengulas lanjut Nanta yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata GPS yakin akan terus memperoleh majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Buat masa ini katanya terdapat 82 kerusi DUN.
“Namun, DUN telah meluluskan penambahan 17 kerusi baharu tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 99 kerusi, tertakluk kepada kelulusan Dewan Rakyat. “Jika diluluskan, jumlah kerusi DUN akan menjadi 99 dan saya percaya GPS masih akan memenangi majoriti,” kata.
Menyentuh isu autonomi kesihatan dan pendidikan, Ahli Parlimen Kapit itu menegaskan bahawa Sarawak hanya mahu mempunyai suara dan kuasa membuat keputusan dalam kedua-dua sektor tersebut.
Beliau berkata, kepimpinan Sarawak sejak sekian lama menyuarakan hasrat agar kerajaan negeri diberi kuasa dalam aspek tertentu seperti pengambilan kakitangan kesihatan, bilangan doktor serta penyesuaian sistem pendidikan mengikut keperluan Sarawak.
“Sebagai contoh, dalam soal pengambilan kakitangan dan jumlah doktor. Begitu juga pendidikan, kita mahu menyesuaikannya dengan keperluan negeri,” jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo
|