Edited by Vellfire at 30-1-2026 09:35 AM

KUCHING: Seorang lelaki dipenjara lima bulan di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mengoyak al-Quran sebelum menaburkannya di atas jalan raya, dengan alasan dia mendengar bisikan syaitan yang mendorongnya melakukan perbuatan tersebut.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali memerintahkan hukuman penjara ke atas Mohamad Jais Yusuf, 57, yang tidak diwakili peguam, untuk dikuatkuasakan mulai hari ini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja merosakkan sebuah kitab suci iaitu al-Quran, dengan mengoyak beberapa helai muka surat dan menaburkannya di atas jalan raya, bertujuan untuk menghina agama Islam atau dengan pengetahuan bahawa perbuatan tersebut berkemungkinan menghina agama Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya antara jam 8.40 dan 8.42 malam, 23 Januari lalu berhampiran Jalan Borneo di sini.
Fakta kes mendedahkan seorang pengadu lelaki iaitu penghulu kampung berhampiran kawasan itu sedang melayari aplikasi Facebook sebelum terlihat video tular yang dimuat naik oleh orang awam.
Video tersebut menunjukkan penemuan cebisan helaian al-Quran yang telah dikoyak dan bertaburan di atas jalan raya dari Jalan Tunku Abdul Rahman hingga ke Jalan Borneo.
Berikutan itu, laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya dan siasatan membawa kepada penangkapan tertuduh pada 26 Januari.
Siasatan lanjut mendapati terdapat saksi melihat tertuduh berkeliaran di tempat kejadian dan membuang cebisan al-Quran tersebut.
Malah, perbuatan tertuduh juga telah dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebuah hotel berhampiran.
Hasil keterangan turut mendapati tertuduh sedar akan tindakannya, selain menyatakan bahawa dia telah mendengar bisikan syaitan untuk melakukan perbuatan tersebut.
Dalam pada itu, tertuduh menyatakan dia tidak memiliki sebarang kad golongan kurang upaya (OKU) atau kad kesihatan mental.
Semasa siasatan, polis mendapati tertuduh mempunyai tiga rekod lampau membabitkan jenayah narkotik serta tiga rekod jenayah lain-lain, selain didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly.
|