Kuala Lumpur: Ahli Parlimen kerajaan dari Pulau Pinang menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sebagai sesuatu yang amat remeh dan akan dibatalkan jika difailkan di mahkamah.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mempersoalkan agenda kerajaan Kedah dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membawa isu tuntutan itu kepada umum kerana tidak berasas sama sekali.
"Ini bukannya satu tuntutan serius, ini tuntutan yang remeh dan beberapa Ahli Parlimen sebelah sana (pembangkang) kata, mari ke mahkamah.
"Ya, memang kita boleh pergi ke mahkamah tapi dalam kes di mana tindakan yang remeh dan tidak berasas difailkan, sudah tentunya ia akan dibatalkan.
"Apakah tujuan kerajaan Kedah dan Menteri Besar Kedah membawa isu ini kepada umum?
"Adakah Penasihat Undang-Undang Kedah merestui atau bersetuju dengan cadangan membawa tindakan ini ke mahkamah kerana sudah tentunya ia amat remeh," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Ramkarpal berkata, beliau menyokong kenyataan Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang menggariskan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, membuktikan Pulau Pinang adalah negeri berdaulat, yang tidak boleh dipertikai.
"Ini adalah satu hakikat yang perlu diterima oleh pihak di sana. Saya sebagai anak Pulau Pinang akan mempertahan Pulau Pinang hingga ke akhirnya," katanya.
Kelmarin, Chow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah dan tidak berperlembagaan.
Katanya, Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan kedudukan itu turut diperkukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 yang menegaskan negeri itu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan kepada tuntutan sejarah sebelum merdeka.
Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata beliau yakin proses perundangan berhubung tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dapat dimulakan tahun ini selepas kerja menganalisis dokumen berkaitan selesai.
Katanya, Pulau Pinang termasuk Seberang Perai adalah wilayah hak milik Kesultanan Kedah sejak zaman silam yang diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786.