Alor Setar: Empat buah rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Gunung Keriang, hari ini.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.45 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohamad Fikhri Abdul Aziz tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Operasi turut dibantu BBP Jalan Raja dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.
"Komander Operasi melaporkan, setibanya di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan empat unit rumay kelas A satu tingkat.
"Anggaran peratusan kebakaran dua rumah terbabit adalah 90 peratus dan dua buah rumah lagi musnah 80 peratus," katanya di sini hari ini.
Ahmad Aminuddin berkata, kebakaran tidak membabitkan mangsa dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.