|
|
KULAI: Polis menahan seorang lelaki semalam selepas disyaki mencuri di sebuah kuil di Senai dekat sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang di rumahnya dekat Bandar Putra di sini.
“Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk satu beg sandang berwarna hitam, pisau, ragum, alat pemotong pokok, test pen, lampu cahaya kepala dan telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 31 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati suspek positif methamphetamine.
“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Tan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pada jam 9.40 malam, 19 Januari lalu mengenai pencerobohan di sebuah kuil bagi maksud melakukan kecurian dipercayai berlaku pada hari yang sama, pada jam 7.30 malam.
Katanya, kejadian itu juga tular menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial Facebook dan memaparkan seorang lelaki dipercayai mencuri wang derma di sebuah kuil Hindu di Senai.

|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|