|
MEDIA sosial pada asalnya dicipta untuk menghubungkan orang ramai, menyebarkan maklumat dan memperluas rangkaian komunikasi. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini media sosial semakin dipenuhi kandungan bertentangan nilai agama, moral dan prinsip etika masyarakat. Lebih membimbangkan, kandungan sebegini semakin dianggap biasa atau normalisasi sehingga tidak lagi menimbulkan rasa bersalah kepada pengguna, termasuk Muslim. Fenomena normalisasi maksiat ini boleh dilihat melalui pelbagai kandungan tular seperti pendedahan terbuka aktiviti pergaulan bebas berlainan jantina, jenaka lucah, penghinaan terhadap institusi agama, normalisasi hubungan terlarang dan budaya sensasi menjadikan perbuatan maksiat dan dosa sebagai hiburan. Lebih membimbangkan lagi, ada yang bukan sahaja menonton, tetapi menyebarkan kandungan berkenaan melalui perkongsian (share) tanda suka (like) atau komen menggalakkan lagi perbuatan itu. Tindakan ini bertentangan dengan nilai hormat, maruah dan keharmonian sosial yang mana setiap interaksi sepatutnya membawa kebaikan kepada masyarakat. Seperti dilaporkan BH seorang mahasiswa di Malaysia didenda kerana memuat naik dan menyebarkan video lucah melalui akaun media sosialnya. Kes ini menunjukkan bagaimana kandungan lucah dengan mudah dibawa ke ruang digital dan disebarkan secara terbuka tanpa rasa malu dan segan. Ini menjadi amaran jelas media sosial boleh menjadi medium penularan maksiat jika tidak dikawal.
Hakikatnya, maksiat jarang bermula dengan paksaan. Ia bermula dengan percubaan berulang, diikuti penerimaan dan akhirnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Dalam konteks ini, al-Quran memberi amaran jelas menerusi firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 113 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan". Ayat ini bukan sahaja melarang perbuatan salah, tetapi juga menegah kita daripada bersikap diam apabila berhadapan dengan perbuatan bertentangan dengan agama. Dalam dunia media sosial, diam boleh membawa maksud memerhati tanpa bantahan, menyokong secara tidak langsung atau bertolak ansur dengan kandungan maksiat berlawanan dengan tanggungjawab moral dan integriti. Ini kerana, tanggungjawab menegur kemungkaran adalah amanah bersama. Lebih tegas lagi, Islam bukan sahaja menolak maksiat, tetapi mengutuk usaha menyebarkannya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah, ayat 2 bermaksud: "Dan hendaklah kamu saling tolong-menolong membuat kebajikan dan bertakwa, serta janganlah kamu sokong dan menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa melanggar perintah-Nya). Ayat ini menegaskan tidak boleh bekerjasama atau menyokong perbuatan maksiat. Menyebarkan kandungan lucah atau negatif di media sosial boleh dianggap sebagai tanggungjawab moral disalahgunakan kerana ia secara tidak langsung menolong menyebarkan dosa. Ia juga sangat relevan hari ini apabila budaya 'tular' atau 'viral' sering dijadikan ukuran kejayaan tanpa memikirkan kesan moral dan rohani kepada masyarakat. Menyebarkan kejahatan untuk hiburan atau atas nama kebebasan bersuara tetap membawa dosa dan boleh merosakkan masyarakat. Beri nasihat, lapor kandungan tidak bermoral Dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila tidak mampu, maka dengan lisannya. Apabila tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman". Hadis ini menolak sikap pasif dan tiada yang salah terhadap kemungkaran. Dalam dunia digital, kita boleh bertindak dengan memberi nasihat berhemah, melaporkan kandungan tidak bermoral atau sekurang-kurangnya tidak menyokong penyebarannya. Cendekiawan Islam memberi amaran bahaya apabila terbiasa dengan dosa. Imam Ghazali menjelaskan hati manusia umpama cermin, iaitu setiap dosa berulang umpama menggelapkan cermin sehingga kebenaran sukar dilihat. Apabila kemaksiatan sentiasa diulang-ulang, sensitiviti moral semakin berkurang dan perkara dilarang akhirnya kelihatan normal. Inilah yang berlaku apabila generasi muda membesar dalam persekitaran digital penuh rangsangan negatif tanpa tapisan nilai. Ini bermakna, hati manusia umpama cermin perlu dibersihkan daripada debu kesalahan atau nafsu supaya dapat memantulkan cahaya rohani dan kebenaran dengan jelas. Konsep ini sering digunakan ulama untuk menerangkan bagaimana dosa berulang akan 'mengaburkan' cermin hati dan menjadikannya kurang peka terhadap kebenaran. Apa yang mesti difahami adalah media sosial hanya alat bersifat neutral. Apa yang menentukan impaknya ialah manusia itu sendiri. Kebebasan tanpa panduan nilai hanya menimbulkan kekeliruan, manakala hiburan tanpa had mendatangkan mudarat. Masyarakat perlu sedar setiap klik, tontonan dan perkongsian membawa kepada manifestasi moral dan akauntabiliti. Tanggungjawab menangani normalisasi maksiat bukan terletak pada satu pihak sahaja. Ibu bapa perlu mendidik anak dalam literasi digital dan nilai moral. Institusi pendidikan harus menanam kefahaman aspek nilai, etika dan adab dalam penggunaan media. Pempengaruh pula perlu menyedari pengaruh mereka adalah amanah, bukan sekadar peluang meraih populariti atau menambah pengikut (follower). Pihak berkuasa dan platform digital juga perlu memperkukuh garis panduan kandungan demi kesejahteraan masyarakat. Akhirnya, perubahan sebenar bermula dari dalam diri. Allah SWT menegaskan dalam Surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya dan tidak ada sesiapapun dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya". Selagi maksiat diraikan dan dinormalisasikan, nilai murni dan suci akan terus terhakis. Media sosial sepatutnya menjadi platform menyebarkan kebaikan, ilmu dan inspirasi, bukan pentas merosakkan akhlak dan moral. Normalisasi maksiat bukan satu kemajuan, tetapi tanda masyarakat kehilangan hala tuju dan integriti. Sudah tiba masanya kita meletakkan agama dan nilai pada asas setiap interaksi digital demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang. Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pembangunan Mahasiswa Budiman, Universiti Selangor (UNISEL)
|