
SIBU: Senator Robert Lau tidak sehaluan dengan Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung kenyataannya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan menyatakan bahawa kenyataan yang dikeluarkan Azalina tersebut mengandungi dakwaan yang tidak tepat.
Mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) kepada seorang Ahli Parlimen Sarawak pada 26 Januari, Lau berkata menteri berkenaan telah cuba menyamakan MA63 dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam menjawab soalan daripada seorang Ahli Parlimen Sarawak pada 26 Januari, telah membuat satu dakwaan yang tidak tepat dengan cuba menyamakan satu perjanjian antarabangsa iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang melahirkan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan dengan satu undang-undang persekutuan yang digubal 11 tahun kemudian.
"Menteri seharusnya sedar bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan MA63," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lau menegaskan, isu yang dibangkitkan bukan berkaitan sama ada MA63 secara nyata memperuntukkan pemilikan sumber asli atau mineral sambil menjelaskan perkara tersebut ditadbir perlembagaan dan undang-undang yang terpakai ke atas tanah di mana sumber berkenaan berada.
"Isu utama yang dibangkitkan berkaitan dengan tanah, iaitu tempat sumber minyak dan gas diekstrak. Soalan yang dikemukakan kepada menteri merujuk secara khusus kepada bidang kuasa tanah, iaitu sempadan Sarawak pada masa pembentukan Malaysia seperti yang ditakrifkan di bawah Perintah Majlis Diraja (Queen's Order in Council) 1954, yang menetapkan sempadan Koloni Sarawak serta kesahan Akta Laut Wilayah 2012 yang merupakan satu cubaan kerajaan persekutuan untuk menceroboh tanah negeri.
"Ia bukan persoalan sama ada MA63 secara nyata memperuntukkan pemilikan sumber asli atau mineral.
"Perkara tersebut tertakluk kepada perlembagaan dan undang-undang yang terpakai ke atas tanah di mana sumber berkenaan berada," jelasnya.
Lau turut menegaskan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa tanah dan pajakan perlombongan termasuk petroleum yang ditemui di atas tanah, berada di bawah bidang kuasa dan kawalan Badan Perundangan Negeri, bukannya Parlimen.
"Tanah dengan jelas diletakkan di bawah Senarai Negeri.
"Selain itu, Perkara 47 dan 48 Perlembagaan Sarawak, yang dilampirkan kepada MA63, memperuntukkan bahawa semua tanah termasuk mineral di atas atau di bawah tanah, yang sebelum ini terletak hak pada Kerajaan British adalah terletak hak kepada Negeri Sarawak dan bukannya kepada Persekutuan," katanya lanjut.
Beliau menambah, sebarang kuasa yang diberikan kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di bawah PDA 1974 (yang sendiri tertakluk kepada arahan dan kawalan Perdana Menteri di bawah subseksyen 3(2)) tetap tertakluk kepada undang-undang wilayah di mana ia beroperasi.
"Dalam hal ini, PETRONAS beroperasi di atas tanah milik Sarawak dan oleh itu tertakluk kepada undang-undang Sarawak, "Undang-undang persekutuan yang digubal oleh Parlimen tidak boleh mengatasi undang-undang negeri dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa negeri.
"Dengan mengambil kira bahawa PETRONAS kini telah membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan dengan memulakan prosiding terhadap kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak, adalah menjadi tanggungjawab menteri berkenaan untuk berhati-hati serta tepat dalam membuat kenyataan di Parlimen," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo
|