
Abang Johari turut mengadakan lawatan pameran yang diadakan sempena UNGCMYB Members Celebration Night 2026: The Sarawak Narrative – Driving Leadership in Private Sector Sustainability. - Gambar UKAS
KUCHING: Kelestarian menjadi teras utama strategi pembangunan Sarawak, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang meletakkan asas pertumbuhan inklusif dan berdaya tahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, strategi itu diperkukuhkan menerusi Sarawak Energy Transition Policy, Sarawak Sustainability Blueprint dan Sarawak Hydrogen Economy Roadmap sebagai tiga rangka kerja utama ke arah ekonomi hijau.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) beliau berkata, sektor tenaga akan menjadi pemangkin transformasi Sarawak, termasuk usaha penyahkarbonan industri tenaga, perluasan tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan hidrogen hijau.
“Ia sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak sebagai hab tenaga lestari serantau.
“Tenaga bersih bukan sahaja akan menggerakkan industri Sarawak, malah menyokong keperluan tenaga rakan serantau. Ini menempatkan Sarawak sebagai rakan tenaga mampan yang boleh dipercayai di rantau ASEAN,” katanya.
Beliau berucap demikian pada UNGCMYB Members Celebration Night 2026: The Sarawak Narrative – Driving Leadership in Private Sector Sustainability di Kuala Lumpur pada Khamis.
Jelas Abang Johari, kejayaan agenda kelestarian akhirnya bergantung kepada manusia sebagai penggerak utama perubahan.
“Strategi tidak bergerak sendiri. Dasar tidak mengurangkan pelepasan karbon. Pelan tidak mengubah rantaian bekalan. Manusialah yang menjayakan transformasi,” ujarnya.
Premier menegaskan, era kelestarian secara beransur-ansur atau ‘gradual sustainability’ kini telah berakhir, sebaliknya dunia kini memasuki fasa tindakan pantas terhadap agenda kemampanan.

Abang Johari berucap UNGCMYB Members Celebration Night 2026: The Sarawak Narrative – Driving Leadership in Private Sector Sustainability di Kuala Lumpur, malam tadi. - Gambar UKAS
Katanya, dunia tidak lagi berada pada fasa perbincangan atau perancangan semata-mata, sebaliknya kini memasuki tempoh kritikal yang menuntut tindakan segera, berani dan terukur daripada semua pihak, khususnya sektor korporat dan swasta.
“Era kelestarian secara beransur-ansur telah berakhir. Hari ini kita menentukan seberapa pantas kita bersedia untuk bertindak,” tegasnya.
Pada majlis berprestij yang menghimpunkan pemimpin industri dan penggerak kelestarian serantau itu, Abang Johari turut menerima Sustainability Visionary Award, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Sarawak dalam menterjemahkan dasar hijau kepada pelaksanaan sebenar.
Katanya, kejayaan Sarawak bukan hasil individu, sebaliknya lahir daripada kekuatan institusi, penjawat awam berwibawa serta rakan strategik yang komited memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Dalam nada tegas, beliau berkata anugerah yang disampaikan pada malam tersebut bukan sekadar simbol pengiktirafan, tetapi bukti bahawa syarikat Malaysia kini bersedia melangkah lebih jauh, daripada sekadar komitmen kepada tindakan yang boleh diukur dan memberi impak nyata.
Majlis malam tersebut turut menyaksikan pengiktirafan kepada organisasi sektor awam dan swasta yang menunjukkan pelaksanaan cemerlang dalam tadbir urus, integriti, tanggungjawab sosial serta pemeliharaan alam sekitar.
Sumber : Utusan Borneo
|