
DAVID
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar tempatan yang layak sehingga ke peringkat universiti awam bagi meringankan beban kos sara hidup keluarga.
Pengerusinya, David Chan dalam satu kenyataan berkata, tekanan kewangan semakin dirasai isi rumah, khususnya ibu bapa yang menanggung perbelanjaan pengajian anak di kolej dan universiti.
“Hasil dapatan tinjauan terkini yang menunjukkan enam daripada sepuluh rakyat Malaysia masih perlu bekerja bagi menyara keluarga.
“Keadaan itu melibatkan golongan ibu bapa dengan anak yang menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah.
“Situasi berkenaan menggambarkan cabaran sosioekonomi yang semakin serius,” katanya.
Menurutnya, kos pendidikan yang tinggi serta pertumbuhan pendapatan tidak seimbang memaksa ramai pekerja meneruskan kerjaya melepasi umur persaraan.
“Ramai golongan berusia bekerja bukan atas pilihan, sebaliknya kerana keperluan kewangan keluarga.
“Sehubungan itu, YPNM menggesa kerajaan bersama majikan sektor swasta menyemak semula dasar persaraan wajib,” katanya.
Katanya, antara cadangan yang dikemukakan termasuk melanjutkan umur persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun.
“Langkah ini dilihat mampu memberi ruang kepada pekerja berpengalaman terus menyumbang kepada ekonomi negara.
“Pada masa sama, pendapatan tambahan boleh membantu mengurangkan beban kewangan isi rumah,” katanya.
Katanya, YPNM turut menekankan kepentingan pendidikan percuma kepada pelajar tempatan Sabah yang layak sehingga peringkat universiti awam.
“Pendekatan ini disifatkan penting bagi memutuskan kitaran tekanan kewangan antara generasi dan pendidikan tidak wajar menjadi beban jangka panjang kepada keluarga
“Ibu bapa juga tidak sepatutnya mengorbankan kesihatan dengan bekerja melepasi usia persaraan semata-mata bagi membiayai kos pengajian anak,” katanya.
Beliau berkata, YPNM mengambil maklum inisiatif Kerajaan Sarawak yang menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat negeri berkenaan.
“Dasar itu membuktikan pelaksanaan pendidikan percuma boleh digerakkan secara berkesan dan mampan.
“Pendekatan progresif ini wajar dijadikan contoh serta dipertimbangkan untuk pelaksanaan di peringkat nasional.
“YPNM berpandangan pendidikan percuma ialah pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara,” katanya.
Dalam masa sama katanya, dasar persaraan lebih fleksibel selaras dengan realiti ekonomi semasa.
“Kedua-dua langkah ini diyakini mampu menjamin kestabilan keluarga, mengurangkan ketidaksamaan serta menyokong pembangunan lebih inklusif dan lestari.
“YPNM menyeru kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas demi melindungi masa depan keluarga Malaysia serta generasi akan datang,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|