|
|
KUALA TERENGGANU: Sebuah premis barangan mainan, basikal, dan skuter elektrik hangus dalam kebakaran di Kampung Simpang Tok Ku, di sini, malam tadi mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.
Turut terbakar dalam kejadian 7.40 malam itu wang tunai hasil jualan sejak pagi sebanyak lebih RM10,000.
Pengurus premis, Maya Suhaidi, 40, berkata, ketika kejadian dia bersama pekerja berada di dalam bangunan dua tingkat itu sebelum terbau asap dari bahagian belakang kedai.
Katanya, dia kemudian segera ke belakang bangunan premis bagi memeriksa punca asap sebelum mendapati api berdekatan surau perempuan.
“Saya terus menghubungi bomba, selain mengarahkan pekerja keluar kerana asap semakin tebal.
“Kami hanya dapat selamatkan barang di bahagian luar premis sahaja, manakala yang lain (barangan jualan) semua hangus termasuk wang tunai hasil jualan sepanjang hari ini (semalam) dianggarkan lebih RM10,000.
“Saya anggarkan keseluruhan kerugian hampir mencecah RM1 juta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian pemilik perniagaan itu, Mohd Azrol Azahar, 39, yang sudah lima tahun menjalankan perniagaan di premis berkenaan berada di premis cawangan di Kuala Berang.
Katanya, selain wang tunai, turut musnah lebih 500 basikal kanak-kanak dan dewasa, pelbagai mainan termasuk kereta kawalan jauh dan lebih 10 skuter elektrik dewasa, serta barangan persekolahan.
Seorang pekerja, Sharuddin Abd Rahim, 38, berkata ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Maghrib sebelum terbau asap dari surau perempuan.
“Saya ke surau untuk menunaikan solat Maghrib jam 7.30 malam dan tidak nampak sebarang api atau bau hangit.
“Ketika tahiyat akhir saya terbau hangit dan sebaik selesai (solat), saya terus ke belakang sebelum mendapati api dan berusaha untuk memadamkan namun gagal kerana api marak dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pihaknya segera ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba api sedang marak dan usaha memadamkan kebakaran dilakukan segera bagi mengelak api merebak premis berhampiran.
“Usaha mengawal kebakaran dan pemeriksaan sekitar kawasan masih dijalankan bagi memastikan api padam sepenuhnya.
“Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|