|
|
Remaja dipukul kerana insiden gangguan kelucahan melampau
Johor Bahru : Seorang pelajar lelaki dipukul rakan sekolah bersama abangnya selepas dikatakan melakukan gangguan kelucahan melampau terhadap seorang pelajar perempuan, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang di hadapan sebuah sekolah menengah di Larkin di sini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa pada jam 7.13 petang.
"Polis menerima laporan pada jam 7.13 petang semalam dibuat remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah.
"Suspek pula warga tempatan berusia 17 tahun dan masih bersekolah bertindak memukul pengadu dengan tangan.
"Perbuatan itu dilakukan bersama abang kandungnya berusia 20 tahun dan tidak bekerja dipercayai pada jam 2.30 petang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut Raub, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku susulan pengadu dikatakan terbabit dalam satu kejadian mengganggu dengan kelucahan melampau terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang juga pelajar sekolah itu pada jam 2 petang kelmarin.
"Kita sahkan ada menerima laporan dibuat pelajar perempuan terbabit pada jam 5.43 petang semalam," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala kes gangguan kelucahan melampau disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik di media sosial memaparkan kejadian terbabit.
Pada masa sama, Raub menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|