Individu terkaya Indonesia, Prajogo Pangestu rugi AS$9 bilion dalam 2 hari Individu terkaya Indonesia, Prajogo Pangestu. - Foto AGENSI
JAKARTA: Individu terkaya Indonesia, Prajogo Pangestu, dilaporkan kehilangan hampir AS$9 bilion (RM35.45 bilion) dalam tempoh dua hari susulan kejatuhan pasaran saham negara itu.
Kejatuhan kali ini disifatkan sebagai terburuk sejak Krisis Kewangan Asia 1998, susulan laporan MSCI Inc (MSCI) yang mempersoalkan peraturan laporan pemegang saham.
MSCI menyuarakan kebimbangan terhadap struktur pemilikan tidak telus dalam syarikat tersenarai di Indonesia, yang berpotensi menyebabkan perdagangan tidak wajar serta manipulasi harga saham, dengan beberapa perubahan indeks ditangguhkan sehingga Mei jika isu itu tidak ditangani.
Kerugian Prajogo susulan laporan MSCI turut menjejaskan keseluruhan pasaran saham Indonesia, di mana indeks komposit Jakarta merudum lebih tujuh peratus pada Rabu.
Ia mencatat penurunan sehingga 10 peratus pada Khamis, menyebabkan penggantungan dagangan sementara untuk mengawal panik pelabur.
Memetik laporan Bloomberg, kejatuhan mendadak itu dicetuskan oleh laporan MSCI yang mempersoalkan peraturan laporan pemegang saham di Indonesia, sekali gus mencetuskan gelombang jualan besar-besaran oleh pelabur domestik dan asing.
Dalam laporannya, MSCI menyuarakan kebimbangan bahawa peraturan sedia ada membenarkan struktur pemilikan tidak telus, khususnya dalam syarikat tersenarai yang dikuasai oleh seorang individu atau kumpulan kecil pemegang saham utama. Keadaan itu, menurut MSCI, berpotensi membuka ruang kepada perdagangan tidak wajar serta manipulasi harga saham.
MSCI turut memaklumkan bahawa beberapa perubahan indeks yang dirancang untuk pasaran Indonesia ditangguhkan, dan memberi amaran kemungkinan tindakan lanjut termasuk pengurangan nilai saham Indonesia dalam indeks pasaran sedang pesat membangun, sekiranya isu ini tidak ditangani sebelum Mei.
Prajogo Pangestu, 81, mengawal kepentingan besar dalam beberapa syarikat utama, termasuk 71 peratus pegangan dalam PT Barito Pacific Tbk serta 84 peratus dalam PT Petrindo Jaya Kreasi Tbk, sebuah syarikat perlombongan arang batu dan emas.
Susulan laporan MSCI, saham kedua-dua syarikat itu menjunam lebih 12 peratus dalam satu sesi dagangan, menyebabkan kekayaan bersih Prajogo susut kepada sekitar AS$31 bilion (RM122.1 bilion), menurut Indeks Bilionair Bloomberg.
Secara keseluruhan, kekayaannya dilaporkan telah merosot hampir AS$15 bilion (RM59 bilion) sejak awal 2026, menjadikan beliau individu paling terkesan dalam krisis pasaran ini.
Kegawatan itu turut menjejaskan keseluruhan pasaran saham Indonesia. Indeks Komposit Jakarta ditutup dengan kejatuhan lebih tujuh peratus pada Rabu dan mencecah paras jatuh sehingga 10 peratus pada Khamis, memaksa pihak berkuasa pasaran mengaktifkan penggantungan dagangan sementara bagi mengekang panik pelabur.
Krisis itu bukan sahaja menjejaskan Prajogo, sebaliknya, beberapa jutawan lain di Indonesia turut mencatatkan kerugian besar, menjadikan jumlah keseluruhan susut nilai kekayaan golongan terkaya negara itu mencecah hampir AS$22 bilion (RM86.65 bilion).
Antaranya, ahli perniagaan Haryanto Tjiptodihardjo dilaporkan kehilangan hampir AS$3 bilion (RM11.8 bilion) dalam tempoh dua hari apabila saham syarikat plastik miliknya merosot ketara.
Mengulas krisis itu, beberapa penganalisis pasaran menyifatkan tindakan MSCI sebagai satu 'amaran keras' kepada pengawal selia di Indonesia.
Sementara itu, pejabat keluarga Prajogo Pangestu memaklumkan bahawa mereka sedang meneliti kenyataan MSCI dan akan terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan berkaitan bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan. - AGENSI
|